Isu Nazlan: Rakyat Mahu Tahu Keputusan Peguam Negara!

1. Pada 21 Mei lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan kertas siasatan tentang kes membabitkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah diserahkan kepada pihak Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

2. Sebagaimana maklum, tuduhan penglibatan Datuk Mohd Nazlan dalam penubuhan SRC International menjadi polemik hangat yang dibahaskan secara meluas termasuk di peringkat antarabangsa mencetus kebimbangan terhadap implikasi terhadap integriti sistem kehakiman negara.

3. Apatah lagi polemik tumpuan ramai ini berkait rapat dengan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dan menjemput spekulasi atau persepsi awam, pastinya kes berprofil tinggi ini memerlukan tindakan segera pihak Peguam Negara.

4. Untuk makluman, kes SRC membabitkan Datuk Seri Najib belum lagi berada di peringkat akhir, Mahkamah Persekutuan. Justeru itu, beliau masih tertakluk pada prinsip keadilan “innocent until proven guilty” sebagaimana yang diamalkan dalam sistem perundangan negara kita.

5. Justeru itu, Pemuda UMNO Malaysia menggesa agar pihak Peguam Negara segera bertindak lanjut berdasarkan kertas siasatan yang telah lengkap dan diserahkan SPRM pada bulan lalu. Peguam Negara perlu segera putuskan dan memaklum kepada masyarakat awam sama ada wujud kes terhadap Datuk Mohd Nazlan atau tidak supaya integriti institusi perundangan dan kehakiman negara tidak dlihat remeh.

6. Gesaan ini adalah bertepatan dengan prinsip undang undang ‘Keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan, tetapi mesti juga dilihat dilaksanakan’ selari dengan seruan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki, kepada Ketua Hakim Negara untuk menyegerakan kes berkenaan dan penubuhan tribunal khas bagi menyiasat sebarang salah laku dan perlanggaran etika kehakiman terhadap Hakim Dato Nazlan.

Harap bertindak segera.

Ikhlas,
Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri
Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia

**********************************************

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.