MB Perak Nafi Dakwaan Operasi Perlombongan Di Gerak Dimulakan

IPOH, 11 Jun – Dakwaan kononnya operasi perlombongan lantanida yang merupakan sejenis nadir bumi di Hulu Perak dekat Gerik telah dimulakan adalah tidak benar.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata imej daripada paparan satelit adalah struktur lama yang dibuat bagi kerja-kerja awalan dalam mengenal pasti kehadiran bahan di lokasi tersebut.

“Saya ingat perkara ini sudah lama sebelum saya menjadi Menteri Besar pada dua tahun lepas. Menteri Besar sewaktu kerajaan dahulu lagi telah memberitahu terdapat sebuah penemuan mineral baharu.

“Ia telah dimulakan secara kecil-kecilan di tapak tanah kepunyaan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) namun apabila saya melakukan lawatan Program MESRA di Gerik didapati sudah ada tanah yang dikorek dan berlubang.

“Kami telah mengarahkan mereka untuk menghentikannya kerana belum mendapatkan kebenaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Koperasi Negara peringkat Negeri Perak 2022 sempena 100 tahun Gerakan Koperasi di sini hari ini.

Saarani mengulas laporan portal tempatan yang memaparkan imej satelit dengan mendakwa kerja-kerja telah dimulakan di tapak di Hulu Perak lebih setahun sebelum kerajaan meluluskan projek perlombongan nadir bumi.

Menurutnya, kerja-kerja perlombongan masih panjang susulan ia perlu mendapatkan permohonan.

“Kita sudah terima kelulusan daripada penilaian kesan alam sekitar (EIA) dan ketika ini di peringkat permohonan kebenaran merancang daripada Majlis Daerah Gerik untuk membenarkan mereka memasuki kawasan tersebut termasuk Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dan Penilaian Impak Sosial (SIA), untuk mendapatkan kebenaran merancang,” katanya. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit