Malaysia Gesa Perkongsian Beban Lebih Besar Bagi Pelarian Rohingya – Mohamad Hasan
NEWS YORK, 25 Sept – Malaysia menggesa perkongsian beban dan tanggungjawab antarabangsa yang lebih besar bagi menyokong negara-negara yang menempatkan pelarian Rohingya susulan konflik berpanjangan dan keadaan kemanusiaan yang meruncing di Myanmar.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata penyelesaian mampan terhadap isu Rohingya perlu menangani punca utamanya, termasuk status kewarganegaraan, di samping mewujudkan keadaan yang membolehkan mereka kembali secara selamat, sukarela dan bermaruah ke tempat asal di Negeri Rakhine.
“Perkongsian beban dan tanggungjawab antarabangsa yang lebih besar amat diperlukan bagi menyokong negara-negara yang menempatkan pelarian Rohingya,” kata beliau ketika menyampaikan intervensi pada Mesyuarat Penyelarasan Tahunan Menteri-Menteri Luar OIC di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini pada Khamis.

Mohamad berkata Malaysia kekal komited terhadap usaha memastikan pertanggungjawaban atas pelanggaran hak asasi manusia dan menyokong kes yang dikemukakan Gambia terhadap Myanmar di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
“Kami mengalu-alukan berakhirnya perbicaraan merit di ICJ pada Januari 2026 dan menantikan penghakiman Mahkamah,” kata Mohamad.
Beliau turut berkata Malaysia aktif menyumbang kepada Dana OIC untuk Rohingya dan amat menggalakkan negara anggota OIC lain supaya turut menyumbang dengan murah hati.
Mengenai Afghanistan, Mohamad berkata Malaysia kekal komited terhadap pembangunan kemanusiaan dan sosioekonomi serta inisiatif praktikal bagi menyokong negara itu.
Beliau berkata pada 10 Ogos 2026, Global Peace Mission (GPM) Malaysia menandatangani memorandum persefahaman dengan Misi OIC di Kabul bagi melaksanakan inisiatif “Memperkasa Pendidikan Kanak-Kanak Perempuan di Afghanistan”.
Inisiatif itu menyokong kerja pengubahsuaian dua sekolah perempuan di Kabul serta penyediaan peralatan penting.
“Malaysia melihat inisiatif ini sebagai sumbangan konkrit dalam menyokong pendidikan kanak-kanak perempuan serta memperkukuh kerjasama dengan OIC di Afghanistan,” katanya.
Mohamad berkata Malaysia juga menyokong dasar OIC untuk mengadakan libat urus secara konstruktif dengan pihak berkuasa de facto di Afghanistan, sambil menegaskan keperluan supaya mereka memenuhi kewajipan dan komitmen antarabangsa.
“Mengekalkan saluran komunikasi amat penting bagi memajukan keterangkuman, menangani kebimbangan dan membina keyakinan ke arah keamanan serta kestabilan berkekalan.
“Dengan mengambil kira perkara itu, Malaysia menyertai Kumpulan Hubungan OIC mengenai Afghanistan pada Februari 2026 dan berharap dapat memberikan sumbangan konstruktif kepada usaha berkenaan,” kata beliau.
Mohamad kini berada di New York dari 23 hingga 27 Sept bagi mengetuai delegasi Malaysia ke sesi ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA). – BERNAMA
