Khairy Hadiri Program Harvard Ministerial Leadership

PUTRAJAYA, 10 Jun – Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin telah diundang Universiti Harvard, Amerika Syarikat bagi menghadiri Harvard Ministerial Leadership Programme dari 12 hingga 15 Jun ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan hari ini berkata program Harvard Ministerial Leadership itu dianjurkan secara jemputan khas dan Khairy merupakan seorang daripada 12 orang menteri dari pelbagai negara yang dipilih untuk menyertai program bertaraf global itu.

Menurutnya semua 12 menteri yang terpilih itu merupakan mereka yang terlibat dalam portfolio kesihatan, pendidikan dan pembangunan insan.

KKM berkata program itu memberi penekanan kepada aspek kepimpinan serta fokus kepada perkongsian interaktif dan paraktikal peserta menerusi perbincangan kajian kes dan pengalaman masing-masing dalam pembangunan insan dan juga kemajuan ekonomi.

“Jemputan khas kepada Menteri Kesihatan untuk menyertai program yang dianjurkan pada setiap tahun ini adalah satu pengiktirafan buat negara, khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia,” kata KKM.

“Program itu juga merupakan antara platform terbaik untuk mempelajari dan menganalisis pengalaman negara lain yang boleh dijadikan rujukan, selain peluang bagi Malaysia untuk berkongsi kejayaan dan pengalaman dalam menguruskan pandemik COVID-19,” tambahnya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.