Agong, Permaisuri Ucap Tahniah Kepada Empat Pelajar Terpilih Sertai Latihan Ketenteraan Di AS

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada empat pelajar Malaysia yang terpilih menyertai latihan di akademi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) tahun ini.

Menzahirkan ucapan sama adalah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi poster dimuat naik di Facebook Istana Negara, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Hajah Azizah turut mendoakan agar keempat-empat mereka dilimpahi kejayaan dan kecemerlangan berterusan.

Menurut kenyataan Kedutaan AS di Malaysia, keempat-empat pelajar itu ialah Edlan Mikyad Ahmad Syamly, Muhamad Danish Imran Zainudin, Qarin Loqman Safriza dan Zarif Mohd Zamrin.

Edlan Mikyad dan Zarif dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia masing-masing bakal ditempatkan di Akademi Tentera AS (USMA) West Point, New York dan Akademi Tentera Udara AS (USAFA) di Colorado.

Sementara itu, Muhamad Danish Imran dan Qarin Loqman dari Maktab Tentera Diraja di Akademi Tentera Laut AS (USNA), Annapolis, Maryland.

Mereka akan menyertai lima pelajar Malaysia yang sedang menjalani latihan di Akademi Perkhidmatan AS iaitu satu di USMA dan masing-masing dua di USNA serta USAFA. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.