Agong Berkenan Terima Menghadap Putera Faisal

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap kunjungan hormat Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal bin Farhan di Istana Negara, hari ini.

Menurut catatan Facebook Istana Negara, ketika sesi menghadap yang berlangsung selama 30 minit bermula 11 pagi, Seri Paduka dan Putera Faisal menyentuh isu hubungan dua hala dan persahabatan antara kerajaan kedua-dua negara yang terjalin erat sejak tahun 1957.

Antara dibincangkan termasuk usaha pengukuhan perdagangan dan ekonomi, serta langkah-langkah untuk meningkat dan memperkembangkan lagi kerjasama, pelaburan dalam pelbagai bidang, selain isu serantau serta antarabangsa berkepentingan kedua-dua negara.

“Seri Paduka menzahirkan penghargaan dan rasa sukacita terhadap hubungan akar umbi Malaysia dan Arab Saudi, yang terjalin secara istimewa dalam pelbagai aspek termasuk sumbangan dan bantuan dihulurkan kepada Malaysia, dalam memerangi COVID-19 serta pemulihan pasca pandemik,” menurut catatan itu.

Turut berangkat ke sesi menghadap ialah Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama, Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Datuk Dr Mahmoud Hussein Saeed Qattan.

Majlis menghadap itu adalah antara agenda lawatan rasmi sulung Putera Faisal ke Malaysia selama dua hari bermula semalam.

Dalam sesi menghadap itu, Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi terhadap peruntukan kuota haji pasca pandemik COVID-19 yang diberikan kepada Malaysia dan berharap urusan jemaah haji dari negara ini berjalan lancar dan mereka dapat menjalankan ibadah.

Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan rasa sukacita kerana Arab Saudi menjadi antara negara pasaran terbesar eksport minyak kelapa sawit Malaysia, yang menyaksikan jumlah eksport keseluruhan bernilai RM1.763 bilion, sepanjang tahun lepas.

Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada Putera Faisal atas jemputan untuk mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi.

“Seri Paduka mendoakan agar Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud yang merupakan Penjaga Dua Masjid Suci dikurniakan keafiatan yang berpanjangan dan Arab Saudi dilimpahi keamanan, kesejahteraan serta kemakmuran berterusan,” menurut catatan itu. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.