PM Ucap Takziah Atas Pemergian Tan Sri Dr Abdul Rahman Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah atas pemergian bekas Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Dr Abdul Rahman Abdul Hamid yang kembali ke rahmatullah awal pagi tadi.

Beliau berkata kerajaan merakamkan jutaan penghargaan di atas segala jasa dan bakti yang dicurahkan Allahyarham sepanjang perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia.

“Takziah saya ucapkan kepada balu Allahyarham, Puan Sri Rosilah Ahmad, dan seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga diberikan ketabahan menghadapi ujian ini.

“Hanya Allah SWT yang dapat membalas segala jasa Allahyarham. Bersama-samalah kita doakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” menurutnya dalam kenyataan di laman Facebook beliau.

Allahyarham, yang merupakan bekas Panglima Angkatan Tentera ke-11, meninggal dunia pada usia 83 tahun di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini akibat jangkitan kuman di paru-paru.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Kem Perdana Sungai Besi di sini pada 3.15 petang dengan penuh istiadat ketenteraan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.