KEJORA Mampu Perluas Kawasan Sebab Rekod Pencapaian 50 Tahun

BANDAR PENAWAR, 2 Jun – Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dilihat mampu memperluas kawasan pembangunannya pada masa hadapan berdasarkan rekod pencapaian dan kejayaan membangunkan kawasan selama 50 tahun ini, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata usaha 50 tahun KEJORA telah banyak mengubah landskap pembangunan luar bandar, sekali gus menempa kejayaan besar dalam aspek prasarana, pendidikan dan sosioekonomi kawasan serta masyarakat terlibat.

Justeru, beliau bersetuju agar KEJORA melalui penjenamaan semula dengan hala tuju baharu, selari dengan arus semasa.

Bagaimanapun l, beliau berkata sebarang pembangunan baharu dilaksanakan KEJORA juga perlu disusuli dengan proses penyelenggaraan yang menyeluruh.

“Tiada masalah untuk kawasan KEJORA diperluaskan. Jadi, terpulang kepada kerajaan negeri, Menteri Besar Johor untuk mempertimbangkan (permohonan).

“Kita tidak beri tekanan kepada kerajaan negeri, biar kerajaan negeri buat keputusan. Kalau pada kerajaan negeri berpendapat elok diperluaskan, boleh diperluaskan dan kalau kerajaan negeri fikir sebaliknya, itu terpulang,” kata beliau kepada pemberita selepas perasmian Sambutan Jubli Emas penubuhan KEJORA di Dataran Tanjung Balau, di sini.

Turut hadir pada perasmian berkenaan ialah Pengurus Besar KEJORA Datuk Mohd Rusdi Darus dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani & Kemajuan Luar Bandar Datuk Zahari Sarip.

Antara cadangan peluasan kawasan pembangunan KEJORA kepada kerajaan negeri ialah peluasan kawasan daripada lapan mukim kepada 10 mukim dalam daerah Kota Tinggi dan daripada dua mukim kepada lapan mukim dalam daerah Kluang.

Sementara itu, Mohd Rusdi dalam ucapannya berkata setelah 50 tahun usia penubuhan KEJORA, kini menjadi cabaran kepada lembaga itu untuk merangka dan merancang visi dalam misi untuk 50 tahun yang akan datang.

“Selepas ini, kita perlu bersama-sama berganding bahu dalam merencana dan melaksana pembangunan KEJORA dengan wajah baharu yang lebih segar dan sesuai dengan peredaran masa,” katanya.

Mohd Rosdi berkata sambutan berkenaan dirangka bagi memperingati suka duka dan ranjau dilalui lembaga dan warga kerjanya sepanjang 50 tahun itu.

Pantai Tanjung Balau dipilih sebagai lokasi bagi sambutan berkenaan bermula hari ini hingga 5 Jun, yang diisi dengan pelbagai program termasuk Forum Perdana Ehwal Islam, sukan pantai, Seminar Sekuriti Makanan, Pertandingan Tug of War, persembahan artis tempatan, pelbagai aktiviti demonstrasi dan lain-lain lagi.

Pada majlis sama, KEJORA turut menerima pengiktirafan daripada the Malaysia Book of Records bagi ladang penyelidikan pertama mengkuang yang dibangunkan secara komersial di Sedili Besar, Kota Tinggi, di sini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.