Ucapan Perasmian Konvensyen Barisan Nasional – Datuk Seri Mohamad Hasan

Tuan-tuan dan Puan-puan;
Saya berasa gembira pada pagi ini dapat hadir bersama dan di beri kesempatan untuk merasmikan Konvensyen Barisan Nasional sempena ulang tahun BN ke 48.

Gembira dapat bertemu dengan rakan2 dan sahabat2 yang terus bersetia dengan BN. Kerana dalam politik, kesetiaan itu bukan sahaja berharga, namun dalam iklim politik semasa, kesetiaan adalah sesuatu yang sangat jarang berlaku.

Yang menjadi lumrah dewasa ini ialah, kegilaan pada kuasa dan kedudukan, bukan kepercayaan dan keikhlasan kepada perjuangan.

Jadi bila saya melihat kehadiran semua rakan2 parti dalam BN, inilah kegembiraan yang amat menguja hati saya. Tuan2 dan Puan2 semua adalah, manifestasi betapa kukuhnya kesatuan kita.
Inilah keluarga besar kita.
Inilah perikatan politik kita.
Dan Inilah landasan politik yang kita yakini, dulu, kini dan selamanya.

Rakan-rakan BN sekalian;

Perjumpaan hari ini sangat penting. Bukan sekadar untuk meraikan ulang tahun BN yang ke 48.

Tetapi kerana, ini mungkin pertemuan terakhir kita, sebelum menghadapi pilihanraya yang paling sengit dalam sejarah Malaysia moden.

Pilihanraya yang akan menentukan masa depan BN dan Malaysia.

Justeru, marilah kita semua untuk duduk bersama-sama. Melihat secara jujur segala rencana dan pelan kita, dalam mengatur persedian menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Tiada lagi ruang, untuk kita berpeluk tubuh. Tiada lagi ruang untuk berasa selasa. Apatah lagi ruang bermimpi untuk menang dengan mudah.

Untuk pilihan raya akan datang, pada saya, menang tipis atau sipi-sipi bukan pilihan sama sekali.

Kita tidak boleh leka dibuai nostalgia bahawa, BN akan memerintah semula, hanya kerana kita sekarang menjadi sebahagian dari kerajaan.

Apa yang berlaku, dalam semua kemenangan pilihanraya kecil dan PRN Sabah, Melaka dan Johor, bukan jaminan bahawa BN akan pasti menang, dan menguasai Kerajaan dengan mudah.

Jika kita beranggapan sedemikian, maka saya tegaskan hari ini bahawa, anggapan seperti itu bukan sahaja salah. Malah, berbahaya dan berisiko kepada BN.

Ada beberapa sebab kritikal, mengapa kita mesti membuang anggapan sebegitu dengan segera.

PERTAMA.., seperti yang telah saya nyatakan dalam pelbagai ucapan saya yang lepas, kedudukan BN sekarang bukan seperti tahun-tahun sebelum 2018.

Pasca 2018, adalah era yang berbeza sama sekali. Sebenarnya bukan sahaja kepada BN sebagai sebuah parti politik. Tetapi kepada Malaysia, malah kepada dunia secara keseluruhan.

BN telah menjadi sangat mengecil, bukan sahaja dari segi jumlah MP, tetapi juga jumlah parti komponen, negeri yang kita kuasai, malah sokongan popular masyarakat awam.

Keadaan ini bukan hanya agak-agakkan. Bukan ramalan atau tekaan. Ini adalah realiti, yang kesemuanya boleh disandarkan secara jelas kepada fakta dan data.

Jadi, adalah sangat penting untuk BN, berpijak di bumi yang nyata, dan menerima realiti bahawa, kemenangan tidak akan datang bergolek. Ia mesti kita usahakan, dengan usaha yang gigih dan gerak kerja yang strategik.

KEDUA…, kita mesti menerima hakikat bahawa jenama sahaja tidak akan memenangkan kita. Pengalaman memerintah, sudah tidak menjadi kelebihan yang mutlak. Ia tidak akan meyakinkan semua pengundi secara automatik.

BN harus diperkenalkan semula, kepada masyarakat, dengan tawaran-tawaran dan penampilan baharu.

Atas dasar itu, hari ini saya akan memberikan fokus kepada DUA perkara utama, untuk kita fikir dan lunaskan bagi mengecapi kemenangan.

PERTAMA… bagaimana kita harus memperbaiki, mengukuh dan mencipta semula gelombang gelora jenama BN.

Dan KEDUA…, mengapa pentingnya, untuk kita mesti kembali memerintah dan bagaimana kita boleh melakukannya?

Tuan-tuan dan Puan-puan;

Setelah 48 tahun, amat wajar kita bertanya, bagaimana harus kita ‘reinvent’ jenama Barisan Nasional ini? Atau sekurang-kurang ‘recalibrate’ apa yang kita ada.

Siapa kita, ke mana kita mahu bawa Malaysia, apa lebihnya kita dengan yang lain. Semua ini adalah perkara yang mesti difikirkan dan dihidupkan kembali dengan nafas baharu.

Sebabnya mudah. Zaman sudah berubah. Generasi sudah silih berganti.
Masakan BN terus terperangkap dalam ‘nostalgia silamnya’ ?

Hanya kerana kita pernah berjaya dahulu, dengan cara sebelum ini, tidak bermakna, kita akan terus berjaya dengan cara yang sama.

Bila saya bertanya, bagaimana boleh kita mengungkapkan Barisan Nasional, jawapan yang saya terima kebanyakannya ‘standard’.

Rata-ratanya memberi jawapan, BN adalah parti politik pelbagai kaum. Atau BN adalah parti memerintah. Atau BN adalah gabungan pelbagai parti tetapi dikuasai UMNO.

Kalau jawapan versi yang lebih teruk pulak, BN dikaitkan dengan ‘gila kuasa, korup, salah guna kuasa dan pelbagai konotasi negatif’.

Semua ini sangat membimbangkan. Kita dilihat sebagai satu parti politik dengan ‘status-quo’ yang negatif dan tidak memukau imaginasi.

Justeru, kita mesti mengubah persepsi yang toksik ini. Sangat penting untuk kita, menampilkan BN yang bersifat sezaman, segar dan kalis masa depan.

Kerana itu, bagi saya, kita mesti mengungkapkan semula BN ini sebagai ‘sebuah idea’ bukan sekadar sebuah perikatan politik.

Kenapa saya mengatakan BN itu sebuah ‘idea’.?
Kerana ia mesti berevolusi. Institusi politik itu lumrah nya pegun. Sedangkan idea itu pula sentiasa bertumbuh, bercambah dan membiak.

BN mesti kita ditamsilkan, sebagai sebuah idea kesepakatan.
Idea kesatuan dalam kepelbagaian.
Idea tentang ‘multiculturalism, progress and diversity’.

Kita mesti sinonimkan BN ini, sebagai sebuah pemikiran kesepakatan, dengan budaya dan pendekatan politik yang progresif.

Bila nanti mereka sebut BN, mereka terbayangkan muhibah. Terbit dalam imaginasi mereka, kesepakatan, keraian kepelbagaian dan pendekatan politik yang sederhana dan maju.

Dan memang pun BN itu sebuah idea. Ia lahir sebagai solusi politik dampak peristiwa 13 Mei.

Waktu itu, sokongan terhadap Parti Perikatan, dalam pilihanraya 1969 jauh merosot. Parti Perikatan hilang lebih separuh dari undi popular, walaupun mempunyai majoriti untuk membentuk Kerajaan.

DAP, Gerakan dan PAS, telah menunjukkan peningkatan sokongan yang ketara. Kemenangan parti pembangkang tersebut, telah menimbulkan ketegangan kaum dan akhirnya tercetuslah rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Bila berakhirnya tempoh darurat pasca peristiwa Mei 13, Parti Perikatan memulakan rundingan, untuk membentuk kerjasama politik dengan Gerakan dan PPP. Kedua-duanya menyertai Perikatan pada 1972 dan ia kemudian disusuli oleh penyertaan PAS. Akhirnya Barisan Nasional didaftarkan pada 1974 sebagai kerjasama politik 9 parti.

BN terbit sebagai sebuah idea, untuk menguruskan negara pasca konflik. Ia tidak ditubuhkan, hanya kerana sekadar untuk mengejar kuasa, di buai dengan ‘kewangan yang maha berkuasa’ mahupun sekadar membentuk Kerajaan.
BN lahir untuk memulihkan negara, yang parah dan terjejas akibat konflik perkauman.

Semenjak tertubuhnya BN, ia mempelopori pelbagai idea bernas. Perkongsian kuasa, politik pembangunan, pengagihan kekayaan dan pembasmian kemiskinan.

Jadi, jika 48 tahun dahulu, BN terbit dari sebuah idea perkongsian kuasa, maka apakah idea BN untuk Malaysia kurun ke 21ini pula?

Pastinya KESEPAKATAN untuk KEMAKMURAN. Sudah tentu kekuatan dalam kepelbagaian. Dan yang jelas, BN adalah sebuah idea tentang kestabilan, kemakmuran dan keadilan.

Kita mesti sebarkan secara luas, agresif dan menyeluruh, bahawa BN ini bukan sekadar persekutuan politik. Tetapi sebuah idea, yang kalis zaman, tentang sebuah kesepakatan politik untuk sebuah NEGARA KESEPAKATAN

Ia adalah cita-cita, untuk sebuah negara yang adil dan makmur. Kuasa dikongsi, kekayaan diagih, kemiskinan dibanteras, kepelbagaian dirai.

Kita mesti menggembleng segenap kudrat, untuk menyingkirkan persepsi kuasa, korupsi dan kebejatan moral sebagai sesuatu yang sinonim dengan BN.

Demi menghadapi PRU akan datang, BN mesti tampil dengan imejnya yang revolusional. Yang ‘cool but serious and promising’.

Yang boleh menerbitkan rasa percaya, dalam kalangan rakyat. Dan yang boleh menyebabkan rakyat, memberikan BN suatu peluang untuk membuktikan bahawa, BN benar-benar ‘sebuah idea yang revolusional’.

Semua ini, saya pulangkan kepada segenap kepimpinan BN, untuk merenung, memikir dan membahaskannya.

Kerana akhirnya, BN ialah tentang PERMUAFAKATAN.
Lalu apa jua jalan ke hadapan untuk BN, ia mesti menyantuni tradisi permuafakatan yang BN telah budayakan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Perkara kedua yang ingin saya bicarakan pada hari ini ialah kenapa kita mesti mengambil alih semula Kerajaan dan bagaimana harus kita melakukannya.

Ada 3 sebab mengapa BN mesti mengambil alih semula negara.

PERTAMA…, kita mahu memulihkan kembali negara.

Pada saat kita berhimpun ini, rakyat di luar sana sedang sangat terbeban. Harga barang melambung naik sehingga di luar kemampuan rakyat. Malah, bekalan makanan asas berisiko terputus atau tidak mencukupi.

Sumber protein kita telah menjadi sangat mahal. Segalanya, dari makanan kepada kos kehidupan lain, telah menjadi sangat luar biasa dari kemampuan purata rakyat Malaysia.

Kepercayaan kepada institusi awam terjejas. Iklim pelaburan terus pudar dan perlahan. Segalanya lebih baik dahulu daripada sekarang.

Kerana itu kita mesti memulihkan Malaysia. Ia harus menjadi misi paling utama BN.

Lihat sahaja apa yang berlaku kepada negara ini, apabila BN ditewaskan pada 2018. PH has failed to govern and they failed miserably.

Dari semua segi, kita telah merosot, menyusut dan berundur ke belakang. Dan bila kita menerajui semula Kerajaan waktu ini, tangan kita pula terhad dan terikat.

Ini kerana, kita tidak mempunyai kuasa yang dominan. Kita terpaksa akur, dengan pelbagai kekangan politik dan persefahaman politik, dengan pelbagai sekutu dan seteru kita. Jika kita mahu bertindak sedikit agresif atau lain dari selera mereka , kita diancam dan diugut.

Ini bukan satu situasi yang baik kepada BN dan Malaysia. Jadi, janganlah kita sesekali, kita turun ke medan pilihanraya, dengan nostalgia dan cita-cita kosong. Jika hanya ingin kuasa, itu bukan BN.

KEDUA… BN mesti mengambil alih semula pentadbiran negara, kerana kita mahu mengembalikan semula kestabilan politik di Malaysia.

Ketidakstabilan politik dalam 3 tahun, telah menjerumuskan Malaysia ke era 20 tahun ke belakang. Bayangkan, jika semua ini berterusan. Malaysia akan menjadi negara, yang terus ketinggalan dan tercorot.

Kita mesti pasakkan dalam sanubari setiap rakyat Malaysia, untuk tidak terus bereksperimen dengan politik negara. Mereka mesti membuat keputusan dengan rasional dan objektif. Bukan emosional dan terbawa-bawa dengan sentimen.

KETIGA …, BN mesti mengambil alih semula Malaysia, kerana kita mahu mencipta masa depan untuk generasi akan datang.

Mentadbir negara, bukan setakat menguruskannya, untuk kemandirian hari ini. Tetapi, ia juga tentang membina asas-asas kelangsungan hari esok.

Kita bukan hanya mewarisi Malaysia ini dari generasi lepas, tetapi turut meminjamnya dari generasi akan datang.

Maka kita mesti menyingkirkan, segala noda dan kesalahan generasi sedia ada. Dan menyediakan landasan lebih baik untuk generasi akan datang.

Kita hidup di zaman yang bukan lagi zaman kita. Jadi janganlah kita terus menghancurkan zaman ini dan meninggalkan Malaysia, dalam keadaan yang parah dan lelah, kepada generasi Malaysia yang akan datang.

Maka, BN mesti mencipta masa depan terbaik, untuk generasi akan datang Malaysia.

Persoalannya, bagaimana harus kita memenangi PRU akan datang, demi tanggungjawab kita pada Malaysia dan generasi akan datang?

Jawapannya adalah melalui idea, kesepakatan, politik moral, kepimpinan ‘intergenerational’ dan strategi yang tuntas.

PERTAMA… IDEA

BN akan diukur dengan apa yang boleh kita tawarkan kepada Malaysia. Kita mesti ada idea, bagaimana kita akan menguruskan Kerajaan. Dasar apa yang akan kita terokai dan kita tampilkan.

Parti tanpa idea, adalah parti yang mati. Tiada siapa yang akan yakin dengan BN, jika ia gagal mengemukakan idea yang bernas untuk Malaysia.

Ingat, kestabilan politik sahaja tanpa idea bagaimana mengurus negara, tidak akan mencukupi.

Sekadar kestabilan tetapi kehidupan menjadi sukar, bukan cara terbaik mengurus negara. Sekadar kestabilan, tetapi segala indeks keyakinan rakyat merudum, adalah formula yang akan memundurkan bangsa.

Dan kestabilan tanpa kemakmuran ekonomi, adalah sepincang-pincang pemerintahan.

KEDUA… KESEPAKATAN

BN mesti kukuh dalam kesepakatannya. Kita tidak boleh tampil, hanya dengan logo BN, tetapi jiwa dan raga kita, dengan haluan masing-masing.

Kita mesti menghadapi pilihanraya akan datang, sebagai Barisan Nasional. Bukan sekadar parti komponen Barisan Nasional.

Kita mesti menghantar mesej yang sangat jelas kepada rakyat. Bahawa BN adalah pasukan Malaysia. Bukan pasukan UMNO, MCA, MIC dan PBRS secara berasingan. Tonjolkan BN seluruhnya, sebagai sebuah pasukan terbaik, untuk masa depan Malaysia yang terbaik.

Di pentas mana pun, di program apa pun, kita mesti berdiri sebagai BN, dan ia dapat di rasai sebagai BN. Kita bukan sekadar tampak kuat, tetapi benar-benar kuat sebagai sebuah pasukan BN.

Apabila BN kuat, UMNO dengan sendirinya akan kuat. MIC dengan sendirinya akan kuat. Dan MCA dengan sendirinya akan kuat. PBRS akan kuat. Semua parti komponen akan kuat.

Maka janganlah kita membuang masa lagi, bercakaran sesama kita. Ia hanya akan melemahkan BN.

KETIGA…. teguhlah berpegang pada politik bermoral.

Perkara yang tidak bermoral tidak akan menang. Dan apa jua yang bermoral, pasti akan bertahan dan dikenang.

Kita mesti menolak sang oportunis politik. Jangan beri ruang kepada pedagang politik.

Sebaliknya, buka ruang, sokong dan angkat kepercayaan kepada calon yang berilmu, berakhlak, berprinsip dan memberikan jiwa nurani kepada negara dan bangsa.

Ingat, dalam usaha membudayakan politik bermoral, kita sebenarnya tidak pernah berhutang dengan sesiapa. Kita tidak perlu berterima kasih kepada sesiapa.. Tidak ada istilah tolak ansur dalam perkara moral.

Dahulu kita dalam BN berbelas belas komponen. Bila kita kalah, kita cuma tinggal berempat. Semua meninggalkan kita, kerana moral, perjuangan dan kesetiaan mereka telah ditafsir dan diubah-ubah mengikut selera dan perut yang tidak pernah kenyang.

Walaupun kita hanya tinggal berempat, jika kita berpegang pada prinsip, pada politik bermoral, pada landasan dan falsafah yang berpandukan nilai, kita pasti akan memang.

KEEMPAT .., tampilkan pemimpin serta calon ‘inter-generational’ dan terangkum.

Calon dan pemimpin yang kita angkat untuk membawa panji2 BN, mestilah mewakili pelbagai generasi, latar belakang dan kepentingan yang inklusif.

Yang berusia dan berpengalaman, kita perlukan, demi hikmah dan kematangan.

Yang pertengahan usia, kita perlukan demi kesediaan untuk mewarisi kepimpinan hari muka.

Yang muda remaja, kita perlukan untuk kita latih dan beri pengalaman.

Yang gadis dan wanita, kerana kita yakin mereka punya tempat penting dan setara dalam Kerajaan dan masyarakat.

Yang dari etnik pelbagai dan masyarakat asal, kerana mereka adalah sebahagian penting dari kepelbagaian Malaysia.

Yang berkelainan upaya dan potensi, adalah kerana mereka punya tempat dalam hal bernegara dan berkerajaan.

Tuntasnya, kita memerlukan SEMUA untuk SEMUA

KELIMA dan terakhir, … BN memerlukan strategi bukan imaginasi.

Untuk menang, BN perlukan informasi bukan persepsi.

PRU-15 ini mesti disandarkan kepada strategi dan berdasarkan maklumat. Segala persediaan, gerak kerja mahupun tawaran kita, mestilah disokong dengan data, disokong dengan pelan, dan disokong dengan pencapaian.

Kita mesti menghentikan segala usaha menyajikan rakyat, dengan perspektif yang hanya berdasarkan persepsi. Akhirnya kita sendiri menjadi mangsa persepsi. Sedangkan hakikat yang sebenarnya sangat berlainan.

Cara yang terbaik untuk membetulkan persepsi adalah, dengan melumpuhkannya dengan menggunakan kenyataan yang benar dan sahih.

Yakinlah sdra dan sdri sekalian, yakinlah, bahawa rakyat boleh menilai. Rakyat boleh berlaku objektif dan adil. Rakyat tidak akan terpedaya lagi.

Yang menjadi masalahnya sekarang adalah, apabila kita membiarkan sahaja, segala tohmahan dan persepsi rekaan pembangkang, sampai kepada masyarakat.

Saya perhatikan dalam banyak keadaan, kita gagal memberikan jawapan dan bidasan. Kalaupun ada, ia lebih bersifat retorik politik dan tidak berobjektif.

Jika cubaan menjawab dan membidas ini, tidak dilakukan secara strategik dan terancang, ia hanya akan memburukkan lagi keadaan. Kita ibarat tikus membaiki labu.

Kita mesti mula untuk lebih banyak menyerang dan ‘offensive’. Bukannya menunggu dan ‘defensive’.

Jangan berpeluk tubuh sahaja dan membiarkan BN karam, dalam limpahan serangan bertalu-talu, dari pelbagai sudut oleh Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional.

Pendekatan ‘defensive’ kita selama ini, seolah-olah menggambarkan kita lemah dan salah.

Saya kadang-kadang berasa sangat kesal, atas sikap berdiam diri kita. Jentera parti-parti komponen nampak tidak berupaya menangkis tohmahan keji lawan kita, dengan radikal dan berkesan.

Bukannya kita ini parti yang tidak ada sumber dan kekuatan. Kita ada pelbagai sumber dan kelebihan. Jadi gunakanlah..!!

Pendekatan tunggu dan lihat, dan menjawab hanya apabila diserang ini, mesti segera berakhir. Kita mesti aktif, proaktif dan giat membongkar betapa gagalnya PH dan PN selama ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan;

Saya sedar dan amat akui bahawa, segala apa yang saya sebutkan ini, bukanlah sesuatu yang mudah.

Namun hidup mesti ada impian dan cita-cita. Dan cita-cita tersebut memerlukan usaha untuk menjelmakannya. Maka bekerjalah demi apa yang kita percaya dan yakini tentang BN ini.

Dan bekerjalah dengan gigih, pintar dan bersama-sama, demi menjayakan BN, sebagai sebuah idea dan sebuah institusi politik.

Janganlah membiarkan, hanya sesetengah daripada kita sahaja yang bekerja keras dan bertungkus lumus. Semua pihak mesti berfungsi.

Kita mesti turun ke gelanggang bersama-sama. Berjuang bersama-sama dan menang bersama-sama.

Saya harap kepimpinan dan ahli semua parti komponen BN akan memberi perhatian serius kepada apa yang saya tegaskan ini.

Tidak ada bentuk perayaan dan sambutan penubuhan BN yang lebih baik, daripada menjadikan hari ini, sebagai satu sesi muhasabah yang tulus dan jujur, demi bersama-sama menjadi lebih baik.

Marilah kita meraikan dan memaknai, sambutan ke 48 tahun BN ini, dengan iltizam dan semangat, yang bukan sahaja berkobar-kobar, tetapi segar dan benar.

Selamat memperingati Ulang Tahun BN yang 48..

Terima kasih.

Datuk Seri Mohamad Hasan
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.