Konvensyen BN: Ucapan PM Ismail Sabri

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Barisan Nasional.

1. Saya menzahirkan sekalung budi dan penghargaan kepada kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN), kerana telah memberikan kepercayaan kepada saya sebagai Perdana Menteri, bagi menerajui tampuk kepimpinan negara pada 21 Ogos 2021 yang lalu.

2. Terima kasih juga kepada semua parti komponen kerana menyokong saya sebagai ‘poster boy’ dan sekali gus, sebagai calon Perdana Menteri ke-10 bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), sepertimana yang telah diputuskan sebulat suara oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan direstui oleh semua parti komponen Barisan Nasional.

3. Amanah yang diberikan ini bukanlah mudah. Ia merupakan tanggungjawab yang berat. Bukan hanya untuk saya tetapi dipikul bersama anggota Barisan Nasional.

4. Jatuh bangun dan kalah menang parti kita bergantung atas kebersamaan, bak kata pepatah; Terapung sama hanyut, terendam sama basah.

5. Barisan Nasional telah melalui sejarah yang panjang. Penubuhannya bermula pada 1 Januari 1973 dan didaftarkan pada 1 Jun 1974. Barisan Nasional adalah sebuah parti yang sarat dengan pengalaman dalam perjuangan politik tanah air.

6. Sejak itu, Barisan Nasional memenangi setiap PRU dengan cemerlangnya, kecuali pada PRU-14. Oleh itu, kita perlu mengangkat semula martabat Barisan Nasional sebagai wadah politik yang berupaya mengembalikan kegemilangan negara dan bangsa.

7. Di kesempatan ini, saya terlebih dahulu ingin mengucapkan Selamat Ulang Tahun Barisan Nasional ke-48. Kita sewajarnya mengucapkan terima kasih kepada pemimpin Barisan Nasional terdahulu yang telah banyak berjasa kepada parti dan negara.

Keluarga Barisan Nasional yang saya kasihi,

8. Agenda Keluarga Malaysia yang saya gagaskan adalah selari dengan konsep permuafakatan dan perkongsian kuasa Barisan Nasional – yang dalamnya terdapat kepelbagaian agama, bangsa dan budaya.

9. Gandingan Barisan Nasional sebati dengan DNA Keluarga Malaysia. Konsep inilah yang menjamin kestabilan parti kita. Marilah kita terus bersama-sama memperkasakan Keluarga Barisan Nasional bagi menghadapi PRU-15.

10. Berdasarkan keputusan beberapa Pilihan Raya Kecil dan Pilihan Raya Negeri, jelas rakyat kembali memberi kepercayaan kepada Barisan Nasional. Ini membuktikan kita mampu menawarkan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan negara.

11. Walaupun pada penilaian kita, rakyat sudah kembali kepada Barisan Nasional, kita tidak boleh merasa selesa kerana masih banyak yang perlu dilakukan untuk memenangi hati rakyat, bagi menjamin kejayaan dalam PRU-15.

12. Kekalahan PRU-14 adalah satu detik hitam yang memberi pengajaran paling bernilai kepada kita. Tragedi pada tahun 2018 itu, menyaksikan perubahan landskap politik negara. Buat pertama kali selepas lebih 60 tahun mentadbir, Barisan Nasional gagal mengekalkan kuasa.

13. Demi memastikan mimpi buruk 22 bulan tidak berulang, kita wajib bekerja keras, bersiap siaga dan bersatu padu, dalam menghadapi PRU-15 yang akan tiba bila-bila masa dari sekarang, bagi mengekalkan rentak kemenangan yang telah kita capai mutakhir ini.

Keluarga Barisan Nasional yang saya kasihi,

14. Kini negara berada dalam fasa peralihan ke endemik. Selepas 2 tahun kita berhari raya dalam suasana PKP, Alhamdulillah, Aidilfitri tahun ini kita meraikannya bersama ahli keluarga tercinta. Maka, jaminan saya sambutan semua perayaan Keluarga Malaysia yang akan datang dapat dirayakan dengan penuh makna.

15. Permasalahan rakyat sebenarnya sentiasa berada dalam pemikiran saya. Saya sedar, sejak negara dilanda pandemik COVID-19, kehidupan rakyat telah terhimpit, dan sekarang, kita dalam fasa pemulihan.

16. Baru-baru ini terdapat laporan, kebimbangan dan pertanyaan terutamanya berkaitan harga barangan yang terus meningkat, kedudukan nilai matawang ringgit, serta prospek pemulihan ekonomi negara.

17. Sebagai ekonomi yang terbuka dengan nilai keseluruhan perdagangan luar merangkumi hampir 120% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), Malaysia tidak terkecuali daripada mengalami kesan ketegangan geopolitik dan perubahan iklim dunia.

18. Sekiranya konflik Russia-Ukraine berterusan, ia akan memberi implikasi kepada komoditi dan turut memberi kesan kepada harga barang. Tindakan beberapa negara menghentikan eksport makanan seperti India dan Indonesia, juga akan memburukkan lagi keadaan.

19. Namun, ketahuilah bahawa Kerajaan sentiasa memantau keadaan ini dan terus komited dalam melaksanakan langkah proaktif melalui pengubahsuaian dasar-dasar tertentu, seiring dengan perubahan senario ekonomi global, yang lazimnya di luar kawalan kita.

20. Alhamdulillah, selepas ekonomi negara tumbuh sebanyak 3.6% pada suku keempat 2021, momentum ini terus dikekalkan sepanjang suku pertama 2022, iaitu sebanyak 5%. Ini telah disokong oleh peningkatan permintaan dalam dan luar negara, serta pemulihan pasaran buruh.

21. Sokongan dasar Kerajaan yang berterusan, terutamanya melalui inisiatif di bawah Bajet 2022 yang mengembang serta langkah yang giat dilaksanakan sejak awal tahun, telah menyumbang kepada kejayaan ini.

22. Sepanjang suku pertama 2022, kita dapat lihat KDNK bulanan berkembang secara berterusan pada kadar 4.3% pada Januari, 5.2% pada Februari dan 5.4% pada Mac. Melangkah ke hadapan, ekonomi negara dijangka terus menunjukkan trend pertumbuhan susulan:

i. Pemulihan pasaran buruh yang berterusan, dengan kadar pengangguran pada 4.1% pada bulan April 2022;

ii. Keyakinan perniagaan yang semakin meningkat selari dengan penggunaan isi rumah yang kukuh. Indeks Sentimen Pengguna (CSI) meningkat kepada 108.9 mata pada suku pertama 2022 (berbanding pada suku keempat 2021 sebanyak 97.2 mata), manakala Statistik Kecenderungan Perniagaan telah merekodkan indikator keyakinan sebanyak 7.6% (berbanding pada suku keempat 2021 sebanyak -0.3%); dan

iii. Peningkatan nilai jualan sektor pembuatan sebanyak 13.9% kepada RM144.6 bilion, serta jualan perdagangan borong dan runcit yang berkembang sebanyak 9.8% kepada RM123.8 bilion pada Mac 2022.

23. Selain itu, keyakinan komuniti pelabur antarabangsa terhadap prospek pertumbuhan dan kemajuan ekonomi negara kekal teguh. Tidak kira dari sudut pelaburan langsung asing bersih, perdagangan luar, mahupun pelaburan di pasaran saham, keyakinan tersebut jelas digambarkan baru-baru ini.

24. Sebagai contoh, sepanjang suku pertama 2022, pelaburan langsung asing bersih meningkat kepada RM24.4 bilion berbanding RM18.4 bilion pada suku keempat tahun lalu. Jumlah perdagangan luar berkembang sebanyak 23.6% kepada RM624.9 bilion, manakala aliran masuk bersih dana asing kekal konsisten dengan jumlah RM7.4 bilion setakat ini.

25. Bursa Malaysia juga telah mendahului bursa-bursa lain di rantau ini dengan penyenaraian awam baharu, atau IPO berjumlah 362 juta Dolar AS.

Keluarga Barisan Nasional yang saya kasihi,

26. Alhamdulillah, pada tahun ini ekonomi negara dijangka akan terus berkembang dengan pesat. Peralihan fasa ke endemik dan pembukaan semula sempadan antarabangsa pada 1 April lalu, telah meningkatkan ketibaan pelancong. Ia turut menambah baik aktiviti perdagangan dan perniagaan, seterusnya memacu pemulihan yang kukuh dalam sektor perkhidmatan.

27. Selain itu, pengeluaran khas daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan bayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) telah merancakkan penggunaan isi rumah dan terus membantu pemulihan ekonomi.

28. Bajet 2022 yang mengembang dan penyambungan semula projek yang mempunyai kesan pengganda tinggi akan membantu mengekalkan pertumbuhan, disokong oleh pelaksanaan program pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

29. Dengan permintaan luar yang kukuh daripada rakan dagangan utama, ekonomi negara dijangka berada di landasan untuk mencapai unjuran pertumbuhan antara 5.3% hingga 6.3% pada 2022. Ini seiring dengan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, iaitu masing-masing sebanyak 5.75% dan 5.5%.

30. Namun begitu, Kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati terhadap perkembangan global terkini yang berpotensi menjadi risiko kepada pertumbuhan. Sebagai contoh, ketegangan geopolitik telah mengakibatkan tekanan ekonomi dalam pelbagai aspek, terutamanya peningkatan dalam inflasi global berikutan harga komoditi yang terus meningkat.

31. Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), inflasi akan meningkat sebanyak 5.7% bagi ekonomi maju dan 8.7% bagi negara-negara membangun. Inflasi Malaysia dijangka berada antara 2.2% dan 3.2% tahun ini (berbanding tahun 2021 iaitu 2.5%), ia sejajar dengan unjuran IMF sebanyak 3.0%, nilai yang paling rendah di kalangan negara ASEAN.

32. Ini merupakan hasil pendekatan Kerajaan dalam melindungi seluruh Keluarga Malaysia daripada beban kenaikan harga barangan, melalui pelbagai subsidi yang dijangka mencecah RM71 bilion tahun ini.

33. Melangkah ke hadapan, Kerajaan akan terus memantau perkembangan pelbagai risiko ekonomi dan memastikan keberkesanan keputusan dasar dalam mengurus kejutan luar, yang boleh memberi kesan ke atas kesejahteraan Keluarga Malaysia.

34. Saya memberi jaminan, keutamaan Kerajaan dalam jangka masa sederhana adalah untuk melaksanakan pembaharuan struktural yang akan meningkatkan potensi, daya tahan dan prospek ekonomi negara serta menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang lebih menarik.

35. Secara keseluruhan, langkah dan komitmen Kerajaan ini akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan inklusif untuk seluruh Keluarga Malaysia.

Keluarga Barisan Nasional yang saya kasihi,

36. Kerajaan telah mengambil langkah drastik dengan membatalkan kelulusan kuota import (AP) makanan. Ini bagi mengatasi kekurangan bekalan makanan di pasaran. Usaha ini juga bertujuan untuk menstabilkan bekalan dan menyekat manipulasi harga barangan oleh orang tengah.

37. Kerajaan akan memperkenalkan kembali Jihad Memerangi Orang Tengah yang telah saya laksanakan sewaktu menerajui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada tahun 2014. Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) diberikan tanggungjawab untuk mengetuai Jihad Memerangi Orang Tengah ini.

38. Bagi menjamin sumber makanan mencukupi untuk keperluan Keluarga Malaysia, kerajaan juga telah memperkenalkan satu Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan 2021-2025.

39. Kerajaan telah menaikkan gaji minimum daripada RM1200 sebulan kepada RM1500 sebulan bertujuan untuk meringankan beban Keluarga Malaysia.

Keluarga Barisan Nasional yang saya kasihi,

40. Kerajaan Keluarga Malaysia telah melakukan yang terbaik dalam tempoh yang mencabar akibat pandemik COVID-19 serta konflik geopolitik antarabangsa.

41. Baru-baru ini, hasil lawatan kerja saya ke Amerika Syarikat, negara berjaya menarik FDI baharu bernilai RM16.52 bilion melalui Misi Perdagangan dan Pelaburan.

42. Manakala dalam lawatan saya ke Jepun baru-baru ini, Perdana Menteri Fumio Kishida telah bersetuju untuk meningkatkan tahap hubungan diplomatik yang akan memberikan manfaat besar kepada Keluarga Malaysia dan membawa pulang pelaburan baharu yang diluluskan bernilai RM8 bilion.

43. Syarikat-syarikat multinasional Jepun seperti Mitsubishi Corporation, Mitsui & Co Ltd, Marubeni Corporation, Aeon Co Ltd dan Japan Petroleum Exploration Co Ltd telah menyatakan komitmen untuk meningkatkan pelaburan mereka di Malaysia.

44. Bagi mengurangkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar, Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak 50 peratus daripada keseluruhan Peruntukan Pembangunan Asas Persekutuan dalam RMK-12.

45. Bagi Keluarga Malaysia di Sabah dan Sarawak, usahlah bimbang, Kerajaan Keluarga Malaysia tidak akan meminggirkan sesiapa pun. Ini jaminan saya.

46. Selain daripada peruntukan asas pembangunan, kerajaan juga telah merancang;

a. Projek Pembinaan rumah baharu dan pembaikan rumah daif di bawah program bantuan rumah yang akan memberi manfaat kepada 26 ribu isi rumah miskin di Sabah dan Sarawak.

b. Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) di Sabah dan Sarawak melibatkan 20 lokaliti di bawah fasa pertama.

Keluarga Barisan Nasional yang saya kasihi,

47. Bagi menghadapi PRU-15, Barisan Nasional hendaklah bersiap siaga. Lantaran itu, saya mencadangkan tiga gerak kerja untuk kita laksanakan bersama iaitu;

Pertama; Barisan Nasional hari ini harus sentiasa berusaha untuk mencapai budaya kerja kelas pertama. Kerja kelas pertama ini ditafsirkan sebagai berpasukan, berdisiplin dan kesetiaan kepada parti.

Pemimpin dan ahli Barisan Nasional yang setia bukanlah yang ada ketika senang sahaja, namun tetap setia walau dilambung badai setinggi mana pun.

Yang berada dalam dewan ini, sudah teruji kesetiaannya. Seinci pun tidak berganjak dari parti walau berdepan dengan ugutan, tekanan, ancaman mahupun tawaran yang menggiurkan.

Elemen Kedua; Ingin saya tekankan, Barisan Nasional perlu memenangi hati rakyat. Saya, sebagai Perdana Menteri akan memastikan dasar-dasar yang menguntungkan rakyat.

Selain itu, perkhidmatan yang terbaik harus diberikan kepada rakyat. Kerajaan sentiasa cakna, mengambil berat, mencari inisiatif terbaik dan segera menyelesaikan masalah setempat.

Elemen Ketiga; Merangka formula Strategi Kemenangan Pilihan Raya Umum ke-15. Strategi ini perlu fokus kepada pemantapan jentera Pilihan Raya di antara parti komponen.

48. Marilah kita sematkan dalam jiwa, dengan ikrar dan tekad penuh jitu, untuk memperkukuh kerjasama antara parti komponen. Kita juga perlu jauhi anasir-anasir luar yang sentiasa menanam bibit perpecahan sesama kita.

49. Sesungguhnya, ikrar kita pada hari ini adalah untuk memenangi PRU-15 dengan majoriti 2/3 kerusi di Dewan Rakyat bagi membolehkan kita meneruskan agenda membantu rakyat dan memakmurkan negara. Insya-Allah.

50. Kerajaan Barisan Nasional yang kuat akan mewujudkan kestabilan politik di dalam negara, dan sekali gus menyumbang kepada kemakmuran ekonomi rantau ASEAN.

PENUTUP

51. Terima kasih kepada semua kepimpinan Barisan Nasional khususnya;

– Pengerusi Barisan Nasional, YB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,
– Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, YB Dato Seri Utama Mohamad Hassan,
– Presiden-presiden parti komponen Barisan Nasional,
– Penasihat Barisan Nasional, YB Dato Seri Najib Tun Razak,

52. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan Menteri dan Timbalan Menteri daripada Barisan Nasional atas dedikasi dan komitmen membantu saya memulihkan negara. Terima kasih semua.

53. Percayalah, keberadaan saya di sini sebagai Perdana Menteri semestinya akan memberi kelebihan kepada parti kita, Barisan Nasional untuk terus membela nasib rakyat.

54. Negara perlukan kestabilan, parti perlukan kesetiaan, rakyat perlukan pembelaan.

Hidup Barisan Nasional !
Hidup Barisan Nasional !
Hidup Barisan Nasional !

Sekian,
Wabillahi Taufik Wal Hidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.