Pantai Timur Sabah Berpotensi Bangunkan Pelancongan Astronomi
SANDAKAN, 31 Mei – Pantai timur Sabah berpotensi dibangunkan dengan pelancongan astronomi di Sabah, menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba.
“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah mengenal pasti lokasi terbaik untuk kita (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi atau MOSTI) melihat bintang dan langit di kawasan ini yang mana kita mendapati pencemaran cahaya adalah amat kurang.
“Kita melihat bintang dan langit di waktu malam adalah satu daripada posisi penting dan berpotensi kepada astro pelancongan, yang mana dengan bantuan dan penglibatan KSTI dan MOSTI, kita boleh jayakan dengan pembiayaan Yayasan Inovasi Malaysia dan Sandbox Teknologi Dan Inovasi Nasional,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Jelajah Astronomi Pantai Timur Sabah di sini hari ini.
Adham berkata sebuah taman astro juga dalam perancangan kewujudannya di Sandakan, yang berpotensi menarik masyarakat astronomi di peringkat nasional dan antarabangsa ke sini.
Beliau turut mengumumkan MOSTI dengan kerjasama KSTI akan membangunkan sebuah Pusat Sains Negara di Kota Kinabalu yang akan membantu dalam mempertingkatkan prestasi sains, teknologi dan inovasi di Sabah.
Adham turut melancarkan satu program khusus bagi melibatkan penyertaan golongan kurang upaya (OKU) dalam bidang astronomi dikenali sebagai Space Insight Planetarium Golden Heart, yang memberi peluang golongan itu, khususnya OKU penglihatan menggunakan teknologi buku Braille meneroka bidang itu.
Program tiga hari yang akan berakhir 2 Jun ini diadakan di Dewan Masyarakat Sandakan dengan pelbagai demonstrasi dan aktiviti interaktif untuk seisi keluarga. – BERNAMA