Khairy Dilantik Naib Pengerusi Lembaga Eksekutif WHO Wakil Rantau Pasifik Barat 2022-2023

KUALA LUMPUR, 31 Mei – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilantik sebagai Naib Pengerusi Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mewakili rantau Pasifik Barat bagi 2022-2023.

Khairy dilantik bersama dengan calon-calon yang mewakili tiga lagi negara yakni Colombia, Yaman dan Timor Leste.

Pengumuman dibuat hari ini di Geneva pada pukul 10 pagi waktu Geneva.

Pelantikan adalah berdasarkan prinsip penggiliran antara rantau geografi, dengan Malaysia pada ketika ini merupakan ahli Lembaga Eksekutif WHO dari 2021 hingga 2024.

Rakaman video pengumuman itu dikongsi oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dengan media tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang mengucapkan tanhian atas pelantikan itu berkata ia merupakan satu penghormatan besar kepada negara.

Beliau berkata Malaysia berhasrat memperjuangkan isu-isu yang menjadi keutamaan dan kepentingan bersama masyarakat serantau serta global, dengan menjadi suara utama sebagai naib presiden Perhimpunan Kesihatan Sedunia, dan kini naib pengerusi Lembaga Eksekutif WHO.

“Di tengah-tengah setiap krisis, terdapat peluang besar untuk melakukan apa yang betul untuk rakyat dan masyarakat, di peringkat tempatan mahupun global. Malaysia sentiasa berada di barisan hadapan untuk memajukan kesihatan awam global,” katanya dalam catatan di Facebook semalam.

Katanya Malaysia akan menyumbang ke arah kejayaan usaha WHO dalam memimpin masyarakat antarabangsa terhadap pelbagai bidang, termasuk tindak balas COVID-19, inovasi kesihatan digital, penuaan yang sihat dan aktif, kesihatan mental, penyakit tidak berjangkit (NCD) dan perubahan iklim. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.