Kerja Baik Pulih Jalan Rosak Di HSA Telah Dimulakan – Onn Hafiz

JOHOR BAHRU, 31 Mei – Kerja-kerja membaik pulih jalan di kawasan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini yang didapati rosak sebelum ini sudah mula dijalankan.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata semasa lawatannya pagi ini, beliau mendapati kerja membaik pulih jalan berkenaan membabitkan jarak 120 meter di hadapan poliklinik hospital berkenaan.

Menurutnya Kementerian Kesihatan (KKM) juga akan membuat permohonan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi kelulusan peruntukan untuk kerja-kerja baik pulih bekalan elektrik, sistem elektrik dan mekanikal di HSA.

“Terima kasih kepada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon, kementerian dan semua pihak yang berusaha untuk membantu rakyat. Insya-Allah, semoga dipermudahkan segala urusan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau hari ini.

Semalam, Onn Hafiz melakukan lawatan mengejut bagi melihat sendiri keadaan fasiliti, jalan raya dan landskap di hospital itu serta menggesa syarikat konsesi bertanggungjawab supaya mengambil tindakan segera dalam membaik pulih jalan dan memperindah landskap HSA.

Beliau pada masa sama turut menghubungi pihak EPU dan Jabatan Kerja Raya agar peruntukan bagi menaik taraf fasiliti dan kemudahan di HSA diluluskan segera. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.