KUSKOP Cadang Koperasi Sekolah Naik Taraf Sebagai Coopmart

TANJONG KARANG, 28 Mei – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menaik taraf koperasi sekolah kepada Coopmart bagi membolehkan barangan di situ dijual kepada orang awam.

Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata bagi langkah pertama pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan KPM mengenai peraturan dan kedudukan bersesuaian koperasi berkenaan.

“Kita akan bincang dengan pihak kementerian (KPM) dan juga Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mengenai peraturan untuk orang luar masuk ke dalam kawasan sekolah.

“Di sekolah kita tahu ada peraturannya. Oleh itu kita juga akan bincangkan mengenai keselamatan selain posisi kedai yang bersesuaian supaya orang awam yang mahu membeli di koperasi berkenaan, mereka tidak perlu masuk ke kawasan sekolah,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Desa di sini hari ini.

Noh berkata barangan asas di koperasi-koperasi sekolah yang telah dinaik taraf itu akan dibekalkan oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) menerusi Program Barang Asas 100 (BA100).

“Mana-mana sekolah yang berminat untuk dijadikan Coopmart kita galakkan, kerana bila koperasi itu mendapat taraf Coopmart, ia akan diberikan subsidi (dan) barang-barang akan dijual dengan harga yang lebih murah,” katanya.

Katanya langkah itu akan dapat menjadikan koperasi lebih kukuh sekali gus mempelbagaikan perniagaan kepada warga sekolah dan komuniti setempat. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.