Jalan Tongod-Keningau Rancakkan Pembangunan Tongod

TONGOD, 28 Mei – Tongod, sebuah daerah pedalaman di Sabah akan memiliki satu lagi jalan alternatif ke pantai barat Sabah sekali gus dapat merancakkan pembangunan ekonomi masyarakat di daerah itu.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata jalan raya sepanjang 40km bernilai RM320 juta itu yang dijangka siap awal 2024 akan menghubungkan Kampung Linayukan dekat sini dengan Kamping Sinaron di Keningau, kira-kira 200km dari Kota Kinabalu.

“Impaknya (Jalan Tongod-Keningau) amat besar, yang mana dahulu kalau masyarakat Tongod hendak ke Keningau, ia hendak melalui Kota Kinabalu lebih kurang 315km.

“Sudah tentu hubungan daerah-daerah ini penting sebab di situlah peluang ekonomi dan peluang pekerjaan dapat dicetuskan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan majlis pecah tanah jalan itu sempena majlis rumah terbuka Aidilfitri dan Pesta Kaamatan Parlimen Kinabatangan di sini hari ini.

Ahli Parlimen Kinabatangan yang juga Menteri Kerja Raya Negeri itu prihatin dengan pembangunan tidak seimbang antara daerah-daerah di Sabah terutama apabila daerah lebih besar seperti Tongod terkesan.

Beliau berkata Tongod dengan keluasan kira-kira 10,000 km persegi bukan sahaja daerah terbesar di Sabah tetapi juga dikategorikan sebagai daerah termiskin di Sabah.

“Saya berhasrat untuk mengeluarkan Tongod dari belenggu kemiskinan dan mengambil pendekatan memastikan masyarakat di Tongod tidak bergantung kepada subsidi kerajaan tetapi boleh berdikari dan membangun diri mereka sendiri,” katanya.

Mengenai pembinaan fasa pertama Lebuhraya Pan Borneo di Sabah, Bung Moktar tidak kisah sama ada peruntukan kerajaan mahupun Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) digunakan asalkan projek itu siap mengikut jadual kerana rakyat di Sabah mahukan sistem jalan raya yang baik.

Beliau berkata pihaknya mungkin akan mempertimbangkan pendekatan PFI untuk fasa kedua projek itu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.