Hampir 300,000 Premis Di Kedah Dapat Akses Capaian Gentian Optik

SUNGAI PETANI, 28 Mei – Sebanyak 298,746 premis di negeri ini telah mendapat akses kepada capaian gentian optik yang dilaksanakan di bawah fasa pertama Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata setakat suku pertama tahun ini kelajuan purata jalur lebar mudah alih di Kedah pula telah meningkat kepada 34.65 megabit per saat (Mbps).

zahidi“Liputan jalur lebar mudah alih 4G di kawasan berpenduduk di Kedah telah meningkat kepada 97.89 peratus. Di Merbok pula, setakat suku pertama 2022 mencatatkan 99.82 peratus.

“Jadi maknanya kita meninjau liputan dan kita akan menambah baik lagi liputan di Kedah untuk kita bantu kembangkan ekonomi yang memerlukan ‘kesalinghubungan’,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri di sini hari ini.

Katanya di bawah pelan JENDELA yang akan dilaksanakan sehingga 2025, pihaknya menyasarkan liputan jalur lebar seluruh negara dipertingkatkan kepada 100 peratus.

Bagaimana pun Zahidi berkata proses meningkatkan liputan di sesetengah kawasan mungkin mengambil sedikit masa terutama jika berkaitan dengan pengambilan tanah untuk pembinaan menara telekomunikasi.

“Jadi kita ada pelan sandaran untuk kita gunakan satelit, kalau enam bulan lagi kita ada satelit, enam bulan lagi seluruh kawasan akan dapat liputan, ini antara usaha kita,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai majlis kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 di Melaka, esok Zahidi berkata sambutan tersebut merupakan pengiktirafan kepada sumbangan besar pengamal media di negara ini.

Beliau berkata kementeriannya yang bertanggungjawab bagi industri media di negara ini bercadang mengusulkan kepada kerajaan untuk menyediakan bantuan atau faedah yang sesuai kepada golongan media yang menghadapi kesusahan atau kemalangan dalam melaksanakan tugas mereka.

“Jadi kita minta pada sambutan itu nanti, apa cadangan daripada wartawan kepada kerajaan terutama kepada kementerian dalam kita membela nasib wartawan dan memberi pengiktirafan kepada wartawan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.