Agihan Tablet Peranti Siswa Dijangka Bermula Julai – Annuar

KOTA BHARU, 28 Mei – Agihan tablet kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dari golongan B40 melalui inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia dijangka bermula Julai ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata permohonan yang dibuka secara dalam talian sejak 15 April hingga 15 Mei leepas bagi fasa pertama itu telah menerima kira-kira 100,000 permohonan.

Beliau berkata semua permohonan sedang diteliti oleh jawatankuasa di peringkat Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) sebagai kementerian pelaksana bagi program inisiatif berkenaan.

“Sebelum ini kita menjangka sekiranya pembekal dapat membekalkan peranti pada bulan Mei tanpa sebarang masalah, maka pada bulan Jun kita akan mula mengagihkan kepada pelajar yang layak.

“Bagaimanapun ketika ini kita berdepan dengan masalah tender dan ia (tender) baru dibuka semula. Kita jangka sebelum pertengahan Jun, pemilihan tender dapat diselesaikan dan diputuskan, sekali gus pada bulan Julai kita akan mula mengagihkan tablet kepada pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Bersama Komuniti Keluarga Malaysia dan Rakyat Kelantan di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan di Padang Kala, di sini hari ini.

Majlis Ramah Mesra Aidilfitri itu dihadiri kira-kira 20,000 pengunjung dari seluruh Kelantan dengan pelbagai menu dihidangkan, membabitkan hampir 20 gerai makanan selain aktiviti cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah termasuk telefon bimbit dan juga motosikal turut diadakan.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata kementeriannya juga akan memperluaskan lagi kelayakan serta golongan yang layak menerima peranti tablet percuma berkenaan.

Katanya jika sebelum ini mereka yang menerima peranti ini hanya pelajar-pelajar IPTA dan IPTS daripada golongan B40, namun pihaknya akan memperluaskan lagi pemberian peranti itu kepada pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) daripada golongan B40.

“Selain itu pelajar dibawah institusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) iaitu Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA) juta akan dimasukkan dalam senarai pemohon yang layak sekiranya mereka daripada keluarga B40.

“Kita juga mempunyai tempoh masa dan siling yang mencukupi untuk memberi peranti percuma ini kepada jumlah penerima yang lebih ramai. Malah, ada mereka yang layak memohon tetapi tidak memohon kerana mereka telah mendapat peranti daripada pihak lain sekali gus membuatkan terdapat lebihan dari segi kapasiti penerima,” katanya. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.