KKM Sedia Lima Pelan Strategi Hadapi Risiko Jangkitan Cacar Monyet

KUALA LUMPUR, 27 Mei – Kementerian Kesihatan (KKM) menyediakan lima pelan strategi bagi menghadapi risiko kemasukan wabak cacar monyet atau monkeypox ke Malaysia.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ia merangkumi pengesanan awal kes, memperkukuh diagnostik, pengurusan kes, pengurusan kluster/wabak dan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran komuniti.

“Strategi menangani monkeypox di Malaysia objektif umumnya adalah untuk kita mencegah kemasukan dan penularan jangkitan monkeypox. Setakat ini kita masih belum ada kes monkeypox di Malaysia,” katanya pada sidang media khas secara maya dari Geneva, Switzerland semalam.

Beliau berkata KKM turut mewujudkan ‘Health Alert monkeypox’ dalam aplikasi MySejahtera yang akan diaktifkan mulai esok dengan pengembara yang tiba dari negara endemik monkeypox atau dari negara yang melaporkan kes monkeypox akan menerima Health Alert tersebut setiap hari selama 21 hari sebagai peringatan untuk membuat pemantauan kesihatan kendiri.

“Ini adalah ciri baharu yang akan aktif esok. Mereka tidak akan terima HSO (arahan pengasingan di rumah) tetapi mereka akan terima pop up alert. Kenapa (tempoh) 21 hari, ini kerana tempoh inkubasi cacar monyet adalah sehingga 21 hari,” katanya.

Negara endemik yang melaporkan kes cacar monyet adalah Cameroon, Republik Afrika Tengah, Republik Demokratik Congo dan Nigeria.

Sementara negara bukan endemik yang telah melaporkan cacar monyet adalah Australia, Belgium, Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Belanda, Portugal, Sepanyol, Sweden, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Selain itu, Khairy berkata KKM juga sedang merancang untuk membuat vaksinasi kepada kontak rapat sekiranya berlaku jangkitan cacar monyet terhadap mana-mana individu.

Menurutnya buat masa ini terdapat dua makmal yang boleh menjalankan ujian cacar monyet iaitu Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) di bawah KKM.

“Cadangan penambahan jumlah makmal, kita akan tambah empat lagi MKAK di Sarawak dan Hospital Langkawi bagi pengesanan virus monkeypox,” tambahnya.

Mengulas mengenai perkembangan Perhimpunan Kesihatan Dunia (WHA) kali ke-75 di Geneva, Khairy berkata Malaysia bersetuju untuk meningkatkan sumbangan kewangan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai tanda sokongan kepada pertubuhan itu yang melaksanakan peranan penting dalam memberi nasihat berhubung kesihatan awam dan kesihatan kecemasan.

“Ini adalah penting kerana kita mahu WHO menjadi sebuah pertubuhan yang dilengkapkan dengan baik untuk memenuhi tujuannya. Sebelum kelulusan resolusi di WHA, jemaah menteri bersetuju lebih awal supaya memenuhi kriteria yang ditetapkan 20 peratus daripada bajet asas pada 2024 kepada 40 peratus pada 2029. Ini menunjukkan kita sebagai ahli yang bertanggungjawab, ahli yang boleh menerajui melalui teladan,” katanya.

Beliau berkata Malaysia turut bersedia untuk terus menjadi tuan rumah kepada Pusat Servis Global WHO berpangkalan di Cyberjaya yang disifatkan sebagai sumbangan sukarela kepada pertubuhan itu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.