Pahang Lulus Peruntukan RM35 Juta Tingkat Pengurusan Kecekapan Banjir

KUANTAN, 26 Mei – Kerajaan Pahang meluluskan peruntukan RM35 juta untuk melaksanakan perolehan dan perbelanjaan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan banjir di negeri itu, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata keputusan yang dicapai pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) semalam, membabitkan pembinaan enam pusat pemindahan banjir kekal, pembinaan landasan pendaratan helikopter dan pembelian instrumen sistem amaran awal tanah runtuh di Cameron Highlands serta sistem amaran banjir di Raub.

“Ia juga melibatkan pembelian bot amfibia dan bot menyelamat untuk ditempatkan di pejabat penghulu serta pelaksanaan kursus khas pengurusan banjir kepada petugas di peringkat daerah,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata perolehan dan perbelanjaan itu, membolehkan semua pihak khususnya pasukan penyelamat serta petugas barisan hadapan sentiasa siap siaga menghadapi sebarang situasi bencana terutama dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

Pasukan penyelamat, menurut beliau perlu dibekalkan dengan kelengkapan bersesuaian serta latihan dan ilmu sepatutnya kerana mereka terdedah kepada risiko dalam misi menyelamatkan mangsa banjir. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.