Johor Akan Rangka Enam Teras Utama Menuju Ke Arah Negeri Maju

PASIR GUDANG, 24 Mei – Kerajaan Johor akan menggariskan enam teras utama termasuk ekonomi yang bersifat holistik sebagai hala tuju dalam misi ke arah negeri maju.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata selain melihat kepada aspek ekonomi fasa endemik, teras lain termasuk jaringan keselamatan sosial, pentadbiran kerajaan yang baik, keperluan dan kemudahan asas serta kebersihan dan keselamatan.

Beliau berkata semua perkara itu akan diperhalusi dalam satu pemukiman yang akan diadakan kerajaan negeri melibatkan Menteri Besar dan semua barisan exco kerajaan negeri dijadualkan bermula Khamis ini (26 Mei) hingga 28 Mei.


“Saya impikan agar negeri Johor ini menjadi sebuah negeri maju, negeri yang membangun tetapi bukan sahaja daripada segi ekonomi atau infrastrukturnya semata-mata tetapi daripada segi mentaliti, jati diri, ilmu pengetahuan, peradaban dan tatasusila cara kita Bangsa Johor.

“Itulah visi yang hebat dan itu yang saya nak cuba bawa untuk negeri Johor. Sebuah negeri maju secara holistik,” katanya berucap pada majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri UMNO Bahagian Pasir Gudang di sini malam tadi.

Turut hadir, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Ketua Bahagian UMNO Pasir Gudang.

Selain itu, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Machap berkata aspek yang akan diteliti juga adalah bagaimana Johor boleh menjadi negeri mesra pelabur supaya pelaburan langsung asing masuk ke negeri itu, sekali gus meningkatkan hasil negeri.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan memberikan penekanan terhadap isu dan keperluan yang dihadapi golongan muda di negeri ini kerana menyedari golongan berkenaan adalah golongan majoriti dengan peratusan melebihi 50 peratus daripada keseluruhan 3.6 juta penduduk negeri itu.

Onn Hafiz yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dalam pada itu turut komited memastikan momentum dan kesinambungan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac lepas sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Bagi memastikan hasrat membangunkan negeri tercapai, kerajaannya perlulah selari dengan pentadbiran di peringkat pusat dan untuk itu, BN perlu menang dalam PRU akan datang.

“Saya setuju dengan pendapat bahawa momentum yang ada ketika ini, ‘feel good factor’ yang dimiliki kerajaan ketika ini perlu diteruskan. Saya juga akan memastikan manifesto BN Johor dalam PRN lalu akan dilaksana,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.