‘Wira Merah’ Komponen Penting Keluarga Malaysia – Reezal Merican
KEPALA BATAS, 22 Mei – ‘Wira Merah’ merupakan komponen penting Keluarga Malaysia kerana semangat keberanian, iltizam serta kecekalan mereka yang luar biasa, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Beliau berkata Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia merupakan tarikh penting untuk diingati bagi menghargai pengorbanan dan khidmat bakti golongan itu di seluruh dunia.
“Dalam setiap detik dan keadaan, merekalah kumpulan pertama yang sampai untuk memberikan bantuan dengan rasa penuh rela, meminggir serta melupakan kepentingan diri sendiri bagi mendahulukan nyawa orang lain yang mesti diselamatkan.
“Lihat sahaja kejadian banjir yang berlaku pada akhir tahun lepas. Mereka tetap di lapangan meskipun nun di sana, kediaman sendiri digenangi air,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2022 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini hari ini.
Mengulas tema tahun ini iaitu ‘Bomba Frontliner Keluarga Malaysia,’ Reezal Merican berkata ia merupakan simbolik terhadap komitmen lebih 13,000 pegawai bomba tetap di 327 balai serta lebih 2,000 pegawai bomba bantuan dan juga lebih 13,000 pegawai bomba sukarela di seluruh negara.
“Pihak kementerian akan sentiasa memberikan komitmen tinggi untuk memperkukuh kapasiti serta keupayaan pasukan bomba sama ada dari aspek dasar, aset dan jentera mahupun kebajikan para Wira Merah.
“Komitmen mereka terhadap tugas sungguh luar biasa kerana sentiasa mendahulukan kepentingan orang lain berbanding diri sendiri, justeru sambutan pada kali ini disambut bersama-sama rakyat bagi menzahirkan betapa rapatnya hubungan bomba dengan masyarakat,” katanya.
Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2022 selama dua hari di pekarangan Dewan Millenium sini mendapat sambutan baik daripada orang ramai yang turut hadir bagi menyaksikan pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan deklamasi sajak, pantomim, pertunjukan pesawat Agusta AW109, pameran kebombaan serta perarakan perbarisan kontinjen dan jentera bomba.
Perarakan perbarisan kali ini melibatkan 1,795 orang yang terdiri daripada 32 kontinjen Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta agensi jemputan termasuk Frontliners Keluarga Malaysia iaitu JBPM, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Sukarelawan Malaysia selain 71 jentera dan kenderaan bomba. — BERNAMA