Kebersatuan Pelbagai Etnik Sabah Cerminan Sebenar Semangat Keluarga Malaysia – PM

KOTA KINABALU, 20 Mei – Kepelbagaian etnik di Sabah yang boleh duduk semeja tanpa mengira sentimen agama dan bangsa mencerminkan semangat dan aspirasi sebenar konsep Keluarga Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata beliau bangga melihat perpaduan dan persefahaman antara kaum di negeri itu kerana semangat Keluarga Malaysia seumpama itulah yang ingin terus ditekankan di negara ini.

Beliau berkata sifat keterbukaan rakyat Sabah diwarisi sejak zaman berzaman terbukti dipegang teguh dalam memupuk keharmonian hidup masyarakat di ’Negeri Bawah Bayu’ itu, malah pelbagai perbezaan mewarnai kehidupan mereka juga mampu membentuk sebuah keluarga besar yang cekal mengharungi cabaran bersama.

“Bak kata pepatah orang Kadazan ‘Osusa Toi Asanang Tomoi-mo Mi-i-so’ yang bermaksud susah atau senang, suka dan duka kita tetap bersama dan bersatu dalam satu Keluarga Malaysia. Inilah harapan besar saya.

“Apabila saya memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia, sudah semestinya rakyat Sabah menguntumkan senyuman kerana nilai asas kebersatuan dalam kepelbagaian itu sudah sebati dalam kehidupan Keluarga Malaysia di negeri ini.

“Sejak dilantik menjadi Perdana Menteri pada Ogos (tahun) lalu, saya telah melawat Sabah sebanyak empat kali dan sememangnya negeri ini sangat dekat di hati saya,” katanya ketika berucap melancarkan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor; ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin; Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; menteri-menteri Kabinet negeri dan pegawai kanan kementerian.

Mengenai Jelajah AKM, Ismail Sabri berkata penganjuran siri jelajah itu di Sabah merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memenuhi aspirasi rakyat yang mahu kesejahteraan dan keamanan terus terjamin, selain kebajikan mereka turut terbela.

“Saya berharap Keluarga Malaysia Sabah akan memanfaatkan kemudahan-kemudahan disediakan dan menghayati erti sebenar Aspirasi Keluarga Malaysia yang menjamin keharmonian dan kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia,” katanya.

Jelajah AKM akan berlangsung selama tiga hari mulai hari ini di SICC bermula pukul 9 pagi dengan pelbagai aktiviti menarik disusun buat pengunjung seperti Jualan Agro Keluarga Malaysia; Jualan Keluarga Malaysia; sukan elektronik; sukan rakyat; gotong-royong; kayuhan ‘Fun Ride’, kenduri Keluarga Malaysia.

Sabah merupakan destinasi ketiga siri jelajah AKM yang diilhamkan Perdana Menteri selepas siri pertama diadakan di Johor dan diikuti Perlis, sebagai destinasi kedua. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.