WiPers Sasar Rangkul Juara Keseluruhan Sukma 2022

PUTRAJAYA, 19 Mei – Kontinjen Wilayah Persekutuan (WiPers) berazam menjadi juara temasya Sukan Malaysia (Sukma) XX Majlis Sukan Negara (MSN) 2022 yang akan berlangsung pada September ini di sekitar Lembah Klang.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata WiPers mempertaruhkan 587 atlet untuk bertanding dalam 31 jenis sukan yang dipertandingkan.

“Kita letakkan matlamat kita nak jadi johan, berapa pingat tu berdasarkan kepada kategori dan kita memang dah ada matlamat bagi tiap-tiap disiplin.

“Saya juga sudah minta ditambah program latihan supaya bila kita pergi sana (Sukma) kita nak jadi juara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengurus Sukma XX MSN 2022 di sini hari ini.

Pada majlis itu, Shahidan menyampaikan watikah pelantikan kepada 41 Pengurus Pasukan WiPers yang akan menggalas tugas di Sukma kelak manakala Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Seri Rosida Jaafar dilantik sebagai Ketua Kontinjen Wipers Sukma.

Pada Sukma 2018, kontinjen Wilayah Persekutuan menjadi naib juara temasya itu dengan 52 pingat emas.

Sementara itu, Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) Dr Hasnul Faizal Hushin Amri berkata satu mesyuarat bersama pengurus pasukan dan jurulatih akan diadakan awal Julai depan bagi membincangkan penetapan sasaran pingat dengan lebih terperinci. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.