Jangan Pandang Ringan HFMD, Tidak Mahu Musibah Lain Selepas ‘Berperang’ Melawan COVID-19 – Zahid

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melahirkan kekhuatiran berhubung kes Penyakit Tangan, kaki dan Mulut (HFMD) yang sehingga 14 Mei sebanyak 31,661 kes dilaporkan di Malaysia iaitu peningkatan 15 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu.

Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata kita tidak boleh memandang ringan ancaman penyakit berjangkit kaki, tangan dan mulut yang mudah menyerang golongan kanak-kanak ini.

“Jangkitannya jika tidak diputuskan dari sekarang dibimbangi lama-kelamaan mengundang penularan yang lebih teruk.

“Turut dikhuatiri penularan HFMD tidak terkawal boleh melumpuhkan operasi taska, tadika atau sekolah sekaligus mengulangi kemelut Covid-19.

“Implikasi buruknya sudah tentu kepada kanak-kanak yang sudah sekian lama terjejas pembelajaran akibat penutupan premis pendidikan,” katanya dalam hantaran menerusi laman facebook berkaitan hal ini.

Jelasnya, berdasarkan maklumat kesihatan langkah memutuskan penularan HFMD sama seperti memutuskan penularan Covid-19 iaitu termasuk mengamalkan kebersihan mencuci tangan menggunakan sabun dan mengasingkan antara pesakit dengan individu tidak dijangkiti.

“Begitu juga membersihkan permukaan yang terdedah kepada virus HFMD seperti permainan anak, lantai rumah serta tandas.

“Walaupun kesan jangkitannya dikatakan tidak seteruk Covid-19, tetapi masih berisiko menyebabkan komplikasi tidak diingini.”

Justeru, katanya segala nasihat kesihatan bagi membendung jangkitan HFMD dalam kalangan kanak-kanak perlulah diberi perhatian serius oleh semua pihak.

“Kita tidak mahu satu lagi musibah penyakit melanda negara selepas begitu lama kita terpaksa ‘berperang’ melawan pandemik Covid-19.” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.