Perhimpunan Agung Khas UMNO Realitikan Suara Akar Umbi, Fokus Demi Masa Hadapan

PERHIMPUNAN Agung Khas UMNO terlakar dalam sejarah parti dengan manifestasi merealitikan hasrat anggota akar umbi demi kelangsungan sebuah perjuangan.

Sememangnya, bukanlah sesuatu yang mudah bagi UMNO untuk meminda apa yang telah disuratkan dalam Perlembagaan malah segala pindaan perlu dilakukan dengan persetujuan anggota parti. Lantaran itulah, persidangan khas dilakukan, dengan tertib sebagaimana aturan malah lambang kematangan sebuah pertubuhan yang berteraskan sokongan ahli-ahli dari seluruh pelusuk tanah air.

Memetik kata-kata Setiusaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang berbunyi:
“Perhimpunan Agung UMNO 2021 ada lapan perkara yang diluluskan dan satu daripada lapan itu ialah menggesa pindaan perlembagaan parti berhubung fasal pemilihan dilakukan dalam waktu yang sesuai dengan memaktubkan pemilihan parti hendaklah diadakan dalam tempoh enam bulan selepas setiap kali pilihan raya umum persekutuan. Ini bagi memastikan seluruh kekuatan parti dapat digemblengkan bagi menghadapi pilihan raya umum tanpa sebarang ancaman dan risiko perpecahan.

“Kita ada 22,000 cawangan di seluruh Malaysia yang di dalamnya ada pemilihan pelbagai peringkat. Begitu jugalah peringkat atasan hingga ke akar umbi bergelumang dengan pemilihan. Orang sebelah sana memang mahukan UMNO hancur sebelum pilihan raya. Takkan kita nak ikut cakap mereka. Jadi kita perlu ada pelan A dan pelan B supaya parti kita kukuh apabila berdepan pilihan raya dan inilah kenapa kita lakukan pindaan perlembagaan,” katanya.

Apa yang pasti, pindaan kepada Perlembagaan UMNO secara falsafahnya menegaskan kepada peranan utama parti iaitu untuk kepentingan agama, bangsa dan negara melalui usaha mendapatkan mandat rakyat pada setiap pilihan raya umum dan lain-lain pilihan raya.

Dalam hal ini, mandat ahli-ahli UMNO adalah kepada parti untuk fokus kepada pilihan raya yang bakal menjelang demi keabsahan proses demokrasi negara. Kejituan tekad adalah berpaksikan kepada kebertanggungjawaban dalam usaha mengembalikan kestabilan negara melalui pilihan raya.

Apatah lagi, selepas melalui ‘zaman gelap’ 22 bulan dalam kepimpinan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, ditambah dengan era ketidaktentuan Perikatan Nasional (PN), maka fokus UMNO adalah masa hadapan negara.

Perhimpunan Agung Khas UMNO ini adalah satu proses yang merealitikan hasrat ahli-ahli UMNO iaitu sebenarnya menetapkan keperluan akar umbi dalam Perlembagaan UMNO, malah ia sebenarnya telahpun diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang baru berlangusung Mac lalu.

Mudahnya, Perhimpunan Agung Khas UMNO adalah proses mendokumentasikan peraturan parti berdasarkan penetapan perundangan sebagaimana kehendak ahli-ahli UMNO.

Inilah kelestarian UMNO, bergerak dalam kesatuan, bersidang penuh muafakat berlandaskan aturan dan mematuhi perundangan ditetapkan. Lebih bermakna, UMNO mendahulukan kepentingan ahli-ahli akar umbi yang menjadi suara kepada rakyat keseluruhan dalam mengharungi kehidupan lantaran kesempitan, tekanan dan keperitan yang telah dirasai hasil angka kepincangan pentadbiran kerajaan PH.

Bukan itu saja, indahnya Perhimpunan Agung Khas UMNO dilaksana bersama dengan keraian ulang tahun UMNO ke-76 tahun. Satu angka yang amat bermakna membuktikan kewujudan parti sebagai wadah perjuangan bangsa untuk agama dan negara malah membela keseluruhan rakyat Malaysia.

Ditambah pula, bulan Syawal pengerat silaturrahim dengan majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri yang bakal mengeratkan perpaduan ahli-ahli UMNO sebagai penutup kepada lakaran sejarah yang tertulis.

UMNO terus mara, untuk rakyat Malaysia… bait kata terakhir dalam lagu parti menjadi penguat bahawa parti ini tetap terus melangkah. Biarpun sentiasa diasak dengan pelbagai tohmahan serta berdepan dengan pelbagai cabaran, namun bersifat alah tidak sesekali kerana UMNO telah bangkit kembali demi meneruskan kesinambungan warisan perjuangan demi agama, bangsa dan negara.

Selamat Bersidang Para Perwakilan
Selamat Ulang Tahun UMNO ke-76
Selamat perkukuh perpaduan dalam sambutan Hari Raya Aidilfiri.

ROPIKAH AHMAD
Editor Berita UMNO Online

***********************************

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.