PM Ucap Tahniah Kepada Skuad Terjun Kebangsaan Raih Pingat Emas

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merakamkan ucapan tahniah kepada skuad terjun kebangsaan yang setakat semalam telah berjaya meraih empat pingat emas dan masing-masing satu pingat perak dan gangsa pada temasya Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam.

Menerusi catatan di Facebook rasminya hari ini, beliau berkata pencapaian itu adalah satu yang membanggakan dan permulaan yang baik bagi atlet negara pada Sukan SEA Vietnam.

“Tahniah kepada penerjun Nur Dhabitah Sabri yang menghadiahkan emas pertama Malaysia, disusuli Ooi Tze Liang, Chew Yi Wei, Ng Yan Yee dan Ong Ker Ying. Pingat perak disumbangkan oleh Kimberly Bong dan gangsa oleh Bertrand Rhodict.

“Kejayaan ini adalah hasil kerja keras dan semangat juang mereka yang padu bagi mengharumkan nama negara,” katanya.

Ismail Sabri berharap semua atlet yang menyertai temasya sukan itu meneruskan perjuangan dan kuat semangat serta mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka.

“Saya yakin dengan permulaan baik ini, kita mampu mencapai sasaran 36 pingat emas,” katanya.

Nur Dhabitah menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia selepas mengungguli saingan final acara 1 meter (m) papan anjal wanita sebelum gandingan Yi Wei-Tze Liang menggandakan kegembiraan menerusi pingat emas acara 3m papan anjal seirama lelaki, pada Ahad.

Kimberly pula mencipta kejutan merangkul perak untuk mengiringi Nur Dhabitah di podium.

Dua lagi pingat emas negara masing-masing disumbangkan menerusi Tze Liang dalam acara 1m papan anjal lelaki dan gandingan Yan Yee-Ker Ying (3m papan anjal seirama wanita), semalam.

Bertrand pula menyumbang pingat gangsa dalam acara 1m papan anjal lelaki. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.