838 Peserta KEDA Terima Hak Milik Kediaman Sejak 2015 – Mahdzir

POKOK SENA, 10 Mei – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah melaksanakan proses pindah hak milik kediaman kepada 838 pesertanya sejak 2015.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sebanyak 1,940 peserta pula dijangka akan menerima geran hak milik kediaman masing-masing, selepas proses pindah hak milik selesai.

“Keseluruhannya KEDA ada 3,862 unit rumah di 44 penempatan KEDA di seluruh negeri, yang mana daripada jumlah itu sebanyak 2,778 unit telah diberikan hak milik kepada KEDA (oleh kerajaan negeri).

“Penyerahan geran kediaman kepada peserta di penempatan KEDA ini, saya kira prosesnya akan dilakukan secara berterusan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan geran hak milik penempatan Desa KEDA di sini hari ini.

Beliau berkata penyerahan geran hak milik penempatan KEDA itu, merupakan antara agenda utama agensi itu bagi membantu penerima yang layak memiliki kediaman.

Bagaimanapun, Mahdzir berkata proses itu memerlukan tempoh masa yang agak lama untuk KEDA menyelesaikan perkara berkaitan, sebelum hak milik kediaman dapat diserahkan kepada pesertanya.

“KEDA bayar premium tanah kepada kerajaan negeri, kemudian tukar hak milik kepada KEDA dan KEDA kena buat pecahan dan sempadan hak milik tanah kediaman kepada semua peserta di sesuatu penempatan, jadi proses ini agak lama.

“Tapi Alhamdulillah banyak yang telah selesai, iaitu 838 unit telah selesai. Ada 1,940 unit dalam proses dan ia proses berterusan apabila selesai nanti kita serahlah hak milik kepada penerima yang layak,” katanya.

Beliau berkata proses pemindahan hak milik dilakukan kepada penduduk selepas membuat penilaian berdasarkan beberapa kriteria dan syarat yang ditetapkan KEDA.

Terdahulu pada majlis itu, Mahdzir menyerahkan geran hak milik penempatan kepada 160 peserta KEDA yang melibatkan tiga penempatan iaitu Desa KEDA Bendang Perang, Desa KEDA Kampung Bukit dan Desa KEDA Derang.

Penyerahan geran hak milik itu bertujuan memberi hak milik persendirian lot-lot tapak rumah di penempatan KEDA kepada peserta, yang menduduki rumah-rumah di kawasan itu. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.