30-40 Peratus Pesakit Long COVID Kembali Bekerja Dalam Tiga Bulan

PUTRAJAYA, 10 Mei – Seramai 30 hingga 40 peratus pesakit COVID berpanjangan (Long COVID) di Malaysia dapat kembali bekerja dalam tempoh tiga bulan selepas dijangkiti COVID-19, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Sementara itu, Khairy menerusi kenyataan hari ini berkata sebanyak 60 hingga 70 peratus pesakit pula dapat kembali bekerja dalam tempoh enam bulan selepas dijangkiti.

Menurutnya, lebih 4.4 juta individu telah berjaya sembuh daripada jangkitan COVID-19 sejak ia melanda negara lebih dua tahun lepas, namun ia mungkin permulaan pada perjuangan yang panjang ke arah pemulihan sepenuhnya bagi segelintir individu.

Beliau berkata keadaan itu boleh berlaku tanpa mengira tahap jangkitan COVID-19 iaitu kadar prevalen di dalam negara bagi individu yang mengalami gejala Long COVID setelah sembuh daripada jangkitan kategori 4 dan 5 adalah 65.1 peratus, termasuk 61.2 peratus daripadanya mengalami lebih daripada dua gejala.

Khairy berkata Kementerian Kesihatan telah memberi rawatan perubatan rehabilitasi Long COVID kepada 2,798 pesakit menerusi rawatan pesakit dalam dan 6,432 pesakit melalui rawatan pesakit luar di fasilitinya di seluruh negara sehingga April tahun ini.

“KKM akan terus menambah lebih banyak sumber dan peralatan untuk merawat serta memulihkan kes-kes Long COVID sebagai sebahagian daripada strategi untuk melindungi dan merawat mereka yang berisiko tinggi untuk dijangkiti virus COVID-19,” katanya.

Antara gejala Long COVID yang kerap dialami dan boleh menyebabkan impak ke atas kefungsian serta aktiviti harian individu terkesan adalah kelesuan, kesukaran bernafas, batuk, kesakitan sendi dan otot, kesukaran tidur nyenyak, kelemahan anggota, masalah deria, kegelisahan, kekabutan otak (brain fog) dan lesi kulit.

Tanpa rawatan yang khusus dan berstruktur, keadaan tersebut boleh berterusan sehingga menjejaskan kualiti hidup individu yang mengalami gejala Long COVID, katanya.

Ia juga boleh menyebabkan kesan seperti peningkatan morbiditi, kehilangan upaya, penurunan produktiviti dan hilang punca pendapatan, yang akhirnya akan menyebabkan bebanan sosioekonomi bukan sahaja kepada individu tersebut malah keluarga, masyarakat serta ekonomi negara, katanya.

Beliau berkata individu yang mengalami gejala Long COVID serius sehingga menjejaskan kefungsian yang ketara serta menjejaskan keupayaan untuk kembali bekerja, boleh dirujuk kepada hospital yang mempunyai kepakaran perubatan rehabilitasi.

Khairy berkata perubatan rehabilitasi adalah kepakaran perubatan yang memberikan fokus kepada peningkatan kefungsian individu melalui diagnosis, rawatan kesihatan, mengurangkan kehilangan upaya serta pencegahan komplikasi.

“Intervensi program rehabilitasi bermatlamatkan kefungsian optimum fizikal, kognitif, sosial, psikologikal, vokasional dan avokasional, seiring dengan keperluan tersendiri individu yang terkesan,” katanya. – BERNAMA