Kerajaan Perkenal Perkhidmatan Pengkomputeran Awan MyGovCloud

PUTRAJAYA, 9 Mei – Kerajaan mengambil langkah menaik taraf perkhidmatan Pusat Data Sektor Awam (PDSA) kepada perkhidmatan Pengkomputeran Awan (Cloud) yang dikenali sebagai MyGovCloud.

Perkhidmatan MyGovCloud berfungsi secara hibrid dengan menggabungkan perkhidmatan Private Cloud di PDSA dan Public Cloud oleh Cloud Service Provider atau penyedia perkhidmatan awan (CSP) yang dilantik kerajaan.

Bagi memperkasa MyGovCloud khususnya dalam penyediaan perkhidmatan Public Cloud, satu perjanjian kontrak berpusat Pengkomputeran Awan yang dikenali sebagai Perjanjian Kerangka Awan (CFA) dimeterai antara kerajaan dengan CSP, berserta syarikat penyedia perkhidmatan Cloud Bumiputera tempatan lantikan CSP yang dikenali sebagai Managed Service Provider (MSP).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menyaksikan pertukaran dokumen CFA antara Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), agensi pusat yang bertanggungjawab dalam agenda pendigitalan sektor awam, dengan CSP dan MSP pada satu majlis di sini.

“Perkhidmatan PDSA telah dinaik taraf kepada perkhidmatan Pengkomputeran Awan (Cloud) khusus untuk kegunaan seluruh agensi kerajaan,” kata Ismail Sabri dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena majlis pemeteraian CFA itu dan pengenalan perkhidmatan MyGovCloud.

Kontrak CFA antara kerajaan, CSP dan MSP itu melibatkan empat syarikat CSP iaitu Amazon Web Services Malaysia Sdn Bhd, Google Cloud Malaysia Sdn Bhd, Microsoft (Malaysia) Sdn Bhd dan Telekom Malaysia Bhd.

Empat syarikat MSP pula terdiri daripada Cloud Connect Sdn Bhd, Enfrasys Solutions Sdn Bhd, Radmik Solutions Sdn Bhd dan Awantec System Sdn Bhd

Ismail Sabri berkata inisiatif MyGovCloud adalah seiring dengan Inisiatif Kelima di bawah Teras 1 Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang menyasarkan 80 peratus penggunaan storan Pengkomputeran Awan merentas sektor awam pada tahun ini.

“Ia bertujuan memacu transformasi digital sektor awam secara holistik yang dapat merangsang pertumbuhan ekonomi digital dan agenda pendigitalan ke seluruh negara,” katanya.

Ismail Sabri berkata pemilihan CSP dibuat selepas syarikat penyedia perkhidmatan dari dalam dan luar negara mengemukakan cadangan (Request for Proposal atau RFP) sebelum penilaian dibuat secara telus melibatkan pelbagai pihak, dan hasil penilaian tersebut, kerajaan bersetuju melantik empat syarikat panel CSP bagi menyediakan perkhidmatan Cloud yang terbaik, selamat dan terjamin.

Beliau juga berkata penglibatan CSP dan MSP itu dijangka membuka potensi pelaburan dalam negara bernilai RM12 bilion hingga RM15 bilion menjelang 2025.

“Pelaburan ini akan menjadi ‘tulang belakang’ kepada pembentukan sebuah ekosistem digital yang mampan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang lestari, sekali gus bakal menjadikan Malaysia sebagai hab digital utama di rantau ASEAN,” katanya.

Ismail Sabri berkata inisiatif MyGovCloud diyakini dapat melahirkan lebih ramai pakar pengkomputeran awan menerusi latihan berterusan dan program pensijilan yang disediakan oleh CSP dan MSP, serta dapat meningkatkan kompetensi dan keupayaan penjawat awam seiring dengan keperluan dan teknologi semasa.

Beliau berkata melalui pelaksanaan CFA, agensi sektor awam akan dapat menikmati perkhidmatan Cloud yang lebih baik, cepat, cekap dan bersasar pada harga yang kompetitif menerusi tawaran diskaun pukal oleh CSP dan MSP.

Menurutnya, perjanjian CFA itu merupakan satu inovasi dalam perolehan perkhidmatan Cloud di semua agensi sektor awam seiring dengan pengukuhan fungsi dan peranan MAMPU pada masa hadapan.

“Dengan termeterai perjanjian ini, saya berharap lebih banyak manfaat bakal dinikmati oleh rakyat secara amnya dan seluruh agensi sektor awam khasnya, bagi merancakkan pembangunan teknologi dan ekonomi digital kepada seluruh Keluarga Malaysia,” katanya.

Turut hadir pada majlis pemeteraian CFA itu ialah Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.