KKM Pertingkat Survelan Hepatitis Akut Di Klinik, Hospital – Khairy

KUALA LUMPUR, 6 Mei – Pengamal perubatan di klinik kesihatan kerajaan dan swasta diminta untuk merujuk kanak-kanak berumur satu bulan hingga kurang dari 18 tahun yang menunjukkan gejala jaundis dan gejala lain hepatitis akut ke hospital untuk pengurusan kes selanjutnya.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata gejala lain hepatitis akut ialah hilang selera makan, loya, muntah, kelesuan atau air kencing berwarna gelap.

“Kementerian Kesihatan (KKM) telah mempertingkatkan survelan bagi hepatitis akut di semua klinik kesihatan dan hospital dengan menggunakan definisi kes yang telah dipersetujui oleh pakar-pakar perubatan klinikal dan kesihatan awam.

“Protokol rujukan dan pengurusan kes Hepatitis Akut yang Tidak Diketahui Penyebabnya (Acute Hepatitis of Unknown Aetiology) sedang dibangunkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Khairy, ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang mengalami gejala berkaitan hepatitis akut seperti dinyatakan adalah dinasihatkan untuk segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan yang berhampiran.

KKM akan terus memantau sitiuasi kejadian Hepatitis Akut yang Tidak Diketahui Penyebabnya dalam kalangan kanak-kanak dan akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa, kata beliau.

Katanya, hasil pemantauan yang telah dijalankan buat masa ini terdapat seorang kanak-kanak lelaki warganegara berumur empat tahun 11 bulan di Sabah dengan gejala hepatitis akut telah mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Sabah pada bulan lepas.

“Kes ini mengalami gejala jaundis, demam, kurang selera makan, loya dan muntah. Selanjutnya, dilaporkan fungsi hepar kanak-kanak ini semakin merosot sehingga memerlukan transplantasi hepar pada 30 Mac 2022 di sebuah hospital di Lembah Klang. Kanak-kanak ini telah discaj dari hospital pada 21 April 2022 dalam keadaan sihat,” kata Khairy.

Beliau berkata pada 23 April 2022, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui WHO Event Information Site (EIS) telah melaporkan kejadian Hepatitis Akut yang Tidak Diketahui Penyebabnya yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur antara satu bulan hingga 16 tahun.

Katanya, sehingga 21 April 2022, WHO telah menerima pelaporan sebanyak 169 kes melibatkan 12 buah negara.

“United Kingdom melaporkan bilangan kes tertinggi sebanyak 114. Negara lain yang turut melaporkan kes adalah Sepanyol, Israel, Amerika Syarikat, Denmark, Ireland, Itali, Belanda, Perancis, Norway, Belgium dan Romania. Setakat ini hanya satu kematian telah dilaporkan,” katanya.

Beliau berkata kejadian hepatitis akut yang dilaporkan itu dikategorikan sebagai Hepatitis Akut yang Tidak Diketahui Penyebabnya kerana penyebab lazim hepatitis seperti virus hepatitis A, B, C, D atau E tidak dikesan melalui ujian makmal.

Selain itu, WHO turut melaporkan bahawa sebanyak 74 kes dari 169 kes yang dilaporkan dikesan positif Adenovirus dan 20 kes dikesan positif SARS-CoV-2, bagaimanapun penyebab hepatitis akut belum dapat ditentusahkan dan masih dalam siasatan.

Katanya, dianggarkan 10 peratus daripada 169 kes yang dilaporkan itu memerlukan transplantasi hepar. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.