Kerajaan Sedia Rangka Penyelesaian Susulan Peningkatan Kos Binaan – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 29 April – Kerajaan beriltizam memastikan rangka penyelesaian disediakan berikutan peningkatan mendadak kos binaan akibat konflik Rusia-Ukraine, yang memberi kesan kepada harga rumah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sehubungan itu beliau berkata Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) akan mencari penyelesaian terhadap masalah yang timbul selain memudahkan pembelian dan pemilikan rumah pada masa akan datang.

Katanya aspirasi kerajaan juga adalah untuk membina 500,000 rumah mampu milik bagi Keluarga Malaysia di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) sebagai usaha merealisasikan wawasan ‘Satu Keluarga Satu Rumah’.

“Aspirasi ini sangat dekat di hati saya dan pihak kerajaan memahami kerisauan anak muda untuk mempunyai tempat berteduh terutamanya selepas mereka bersara,” katanya pada Mailis Perasmian Pecah Tanah Residensi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) – Astrum Ampang, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya.

Ismail Sabri berkata kerajaan sedar bahawa kediaman menjadi keperluan mendesak bagi Keluarga Malaysia, dan di bawah RMK12 serta MPMMN, langkah-langkah segera dan jangka panjang telah digariskan untuk menguruskan perkara itu.

Beliau berkata ia juga selari dengan usaha memperkasakan pemilikan rumah mampu milik bagi golongan B40 dan M40 dalam usaha mengelakkan mereka daripada menanggung beban kewangan yang berat.

“Langkah ini diperkukuhkan lagi dengan usaha-usaha sedia ada agensi-agensi kerajaan lain seperti PR1MA misalnya, yang dapat menyumbang secara positif ke arah pemilikan rumah yang lestari.

“Saya juga berterima kasih kepada PR1MA kerana menyahut seruan kerajaan supaya membina lebih banyak rumah mampu milik di bawah RMK12 dan menawarkan penyelesaian pembiayaan perumahan kepada Keluarga Malaysia terutamanya golongan muda,” katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan terus menyokong usaha PR1MA dalam membantu golongan berpendapatan sederhana memiliki rumah sendiri yang membolehkan penghuninya menikmati kehidupan mampan.

Mengenai Residensi PR1MA – Astrum Ampang, Ismail Sabri berkata projek berkenaan dijangka mampu membantu mengurangkan masalah perumahan di kawasan ibu kota selari dengan aspirasi Keluarga Malaysia.

Katanya anak muda yang memulakan kerjaya di ibu kota sentiasa berdepan dengan isu perumahan terutamanya dalam memiliki kediaman selesa dan mempunyai akses pengangkutan serta kemudahan awam dalam lingkungan yang berdekatan.

Selain itu beliau berkata kebanyakan kediaman yang dibangunkan ketika ini di luar kemampuan mereka yang baru sahaja memulakan pekerjaan, dengan harga rumah di pasaran semasa meningkat dan ditambah kedudukan kewangan yang tidak kukuh, menyukarkan golongan berkenaan memiliki rumah sendiri.

“Justeru Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membuat perancangan untuk melaksanakan pembinaan kediaman baharu berkonsepkan transit atau ‘Transit Oriented Development’ (TOD).

“Kediaman TOD bukan sahaja memudahkan pergerakan anak muda ke tempat kerja tetapi juga membolehkan negara mencapai sasaran mengurangkan jejak karbon menjelang tahun 2030 selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG30),” tambahnya.

Ismail Sabri berkata Astrum Ampang merupakan contoh kediaman mampu milik yang mempunyai akses kepada rel Laluan Kelana Jaya dan LRT Laluan Ampang-Sri Petaling, MRT Sungai Buluh-Kajang selain bakal disambung dengan MRT Sungai Buloh-Putrajaya dan LRT 3.

Ia adalah sebuah projek pembangunan bercampur dan dibangunkan oleh Astrum Ampang Sdn Bhd manakala PR1MA bertindak sebagai pelabur dan rakan usaha sama.

Daripada keseluruhan projek, satu daripada empat fasa pembangunannya dikhususkan bagi kediaman PR1MA dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM180.80 juta.

Sebanyak 712 kediaman mampu milik berkonsepkan ‘Small Office Home Office’ (SOHO) dan apartmen servis di bawah PR1MA ditawarkan pada harga RM250,000 dan RM270,000 dengan keluasan 450 kaki persegi dan 550 kaki persegi, dengan pelbagai kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, surau, gelanggang badminton disediakan. – BERNAMA