Ismail Sabri Luang Masa Temani Anak Yatim, Asnaf Beli Baju Raya

PUTRAJAYA, 28 April – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menemani 54 anak yatim dan asnaf di bawah tanggungannya, membeli baju raya di pusat beli-belah di sini.

Ismail Sabri yang tidak kekok membahasakan diri sebagai ‘atuk’, menyapa mesra kesemua kanak-kanak terbabit yang merupakan anak angkatnya yang begitu teruja menanti kedatangan beliau seawal 9.30 pagi.

Jelas terpancar kegembiraan pada wajah-wajah mereka apabila diberi kebebasan memilih sendiri pakaian dan kasut, mengikut warna dan rekaan kegemaran masing-masing.

Bercakap kepada pemberita selepas menyantuni kanak-kanak terbabit, Ismail Sabri berkata aktiviti membawa anak-anak angkatnya membeli baju raya, adalah rutin tahunan baginya menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Saya mahu gembirakan mereka untuk sambut Hari Raya,” katanya aktiviti tersebut diteruskan bagi membolehkan anak-anak yatim dan asnaf terbabit mengenalinya secara peribadi.

“Walaupun tak jumpa selalu tapi saya pastikan setahun sekali saya kena jumpa mereka. Kalau ada majlis berbuka puasa, saya akan jemput mereka,” katanya.

Nur Auni Syafia Jefri Mohd Zain, 11, begitu teruja untuk membeli baju raya bersama ‘atuk’ dan mengucapkan terima kasih kepada Ismail Sabri.

“Ibu (penjaga) beritahu semalam, yang atuk akan bawa saya dan kakak (Nur Syamimi) beli baju raya hari ini. Saya bangun pukul 6 pagi sebab rasa teruja untuk berjumpa atuk,” katanya yang bercita-cita menjadi cef.

Nur Auni dan Nur Syamimi, 12, merupakan dua daripada empat anak kepada Allahyarham Jefri Mohd Zain dan Allahyarham Noorsalawati Ibrahim, yang meninggal dunia pada 2014 apabila motosikal yang ditunggang mereka dilanggar lori pasir di Cheras, Selangor.

Turut berkongsi kegembiraan bertemu Ismail Sabri ialah dua adik beradik iaitu Nur Firuza Amira Fairuz Nizam, 13, dan Nur Firuza Aqilah Fairuz Nizam, 10, yang membawa biskut raya sebagai buah tangan kepada pemimpin nombor satu negara itu.

“Kami bawa kuih raya untuk atuk. Kami buat ‘chocolate moist’ dan ‘tart cadbury’ malam tadi,” katanya yang merupakan anak kepada Allahyarham Fairuz Nizam Husain dan Allahyarham Nova Safitri Azhari, yang terkorban dalam nahas kemalangan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) pada 2015.

Menyifatkan Ismail Sabri sebagai seorang yang penyanyang dan peramah, kedua-dua beradik itu mendoakan agar beliau dipanjangkan usia dan dimurahkan rezeki.

“Atuk tidak pernah lupakan saya dan adik saya. Saya doakan atuk berjaya di dunia akhirat dan sihat selalu,” kata Nur Firuza Amira. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.