KPLB Tawar Kursus TVET Untuk Pelajar Tahfiz – Mahdzir

PUTRAJAYA, 27 April – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) membuka peluang kepada 500 pelajar tahfiz untuk mengikuti kursus-kursus Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di institusi pendidikan TVET di bawah kementerian itu.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pelajar tahfiz yang menyertai kursus TVET itu akan mengikuti pembelajaran selama enam bulan sebelum diberikan sijil mengikut kemahiran yang dipilih.

“Jika mereka (pelajar tahfiz) ini ada SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), mereka boleh sertai kursus kemahiran seperti baiki motosikal atau penghawa dingin.

“Apabila selesai kursus, mereka akan dapat sijil yang akan membantu mereka untuk mendapatkan kerja,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Iftar KPLB di sini semalam.

Sementara itu, beliau berkata KPLB sedang giat menjalankan projek-projek pembangunan rakyat di kawasan luar bandar.

“Kita akan memantau projek sedia ada supaya ia berjalan mengikut garis masa yang ditetapkan,” katanya. – BERNAMA