Penantian 679 Peneroka Felda Dapatkan Geran Hak Milik Tanah Berakhir

MERSING, 26 April – Penantian sekian lama oleh 679 peneroka Felda Tenggaroh 2 dan Felda Tenggaroh Timur 1 di sini, untuk mendapatkan geran hak milik tanah mereka berakhir semalam

Kesemua mereka menerima geran berkenaan daripada Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi pada satu majlis di sini, hari ini.

Menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini, Onn Hafiz berharap pemberian geran itu sedikit sebanyak dapat memberikan keceriaan kepada peneroka berkenaan menjelang sambutan Aidilfitri ini.

“Semua ini berkat kesungguhan, kerja keras dan kesabaran para peneroka terlibat mengusahakan tanah masing-masing sejak beberapa dekad lepas. Kini bukan saja tapak rumah, malah tanah yang diusahakan turut menjadi hak milik mereka secara sah.

“Saya berharap pemberian geran hak milik tanah ini menjadi hadiah istimewa sempena sambutan hari raya yang bakal tiba tidak lama lagi,” katanya.

Onn Hafiz berkata penyelesaian isu tanah itu merupakan satu daripada 10 isu yang menjadi keutamaan kerajaan negeri Johor dalam tempoh terdekat ini.

“Alhamdulilah, hari ini perasaan saya bercampur baur, gembira dan pada masa sama sebak apabila saya menyerahkan geran hak milik tanah kepada kesemua penerima di dua Felda berkenaan,” katanya. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.