Pahang Tawar Program Profesional Pentadbiran Awam Dengan Kerjasama UnipSAS

KUANTAN, 25 April – Kerajaan Pahang dengan kerjasama Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) menawarkan program profesional pentadbiran awam, khusus dengan matlamat meningkatkan produktiviti, integriti dan kualiti kakitangan awam kerajaan negeri.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata ia merupakan program bertaraf sijil melibatkan kelas secara dalam talian selama empat bulan, dan antara bidang pembelajarannya meliputi kaunseling, kewangan, komunikasi dan pengajian Islam, serta integriti yang berkaitan dengan bidang kerja seorang penjawat awam.

“Selepas berjaya menamatkan pengajian, sijil ini menjadi nilai tambah kepada mereka,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Pertama Program Profesional Pentadbiran Awam Pahang di UniPSAS di sini hari ini.

Majlis yang turut dihadiri Setiauasa Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak itu meyaksikan seramai 156 kakitangan awam Pahang daripada pelbagai gred menerima sijil mereka.

Beliau berkata penyertaan dalam kalangan penjawat awam di Pahang adalah secara sukarela dengan mereka daripada pelbagai gred boleh mengemukakan permohonan mengikutinya, namun masih ada tapisan dan syarat yang perlu dipenuhi, kerana menurutnya UniPSAS juga perlu menjaga kualiti program kendalian mereka.

“Kita juga dalam pertimbangan untuk memberi sedikit ganjaran kepada mereka yang menamatkan program ini sebagai menghargai kesungguhan mereka melanjutkan pelajaran dalam kesibukan kerja,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.