Lebih 73,000 Peserta FELCRA Terima Keuntungan Boleh Agih Akhir 2021 Fasa 2

SANDAKAN, 25 April – Lebih 73,000 peserta Felcra Bhd di seluruh negara menerima Keuntungan Boleh Agih Akhir 2021 bagi Fasa 2 Projek-projek Peserta Felcra Malaysia 2021 berjumlah RM136.4 juta yang telah dibayar bermula Jumaat lepas.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata agihan keuntungan pada kadar purata RM2,755 per hektar itu dijangka akan selesai keseluruhan pembayaran pada pertengahan minggu ini.

“Faktor-faktor yang menyumbang kepada kejayaan agihan ini adalah pengurusan perladangan yang efektif dan sistematik oleh Felcra dengan usaha-usaha penambahbaikan proses aliran kerja, peningkatan penggunaan jentera-jentera dan alatan mekanisasi di ladang-ladang yang diurus Felcra.

“Pengenalan aspek automasi seperti penggunaan dron pemantauan pertanian serta turut dipengaruhi oleh peningkatan harga komoditi sawit iaitu harga buah tandan segar RM844.14 per metrik tan dan RM5.74 per kilogram bagi getah,” katanya dalam kenyataan pada lawatannya ke Sandakan di sini hari ini.

Di Sabah, seramai 1,367 peserta menerima keuntungan boleh agih tersebut.

Mahdzir berkata dalam usaha menjadikan aspirasi membandarkan luar bandar sebagai realiti, kementeriannya memberi fokus kepada kesejahteraan masyarakat dan ekosistem luar bandar.

Menurutnya, dalam pusingan kedua Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe12), Felcra telah menerima peruntukan geran berjumlah RM161.6 juta untuk melaksanakan aktiviti pelengkapan kampung iaitu ameniti sosial, premis perniagaan, pelancongan desa, penglibatan komuniti, program tanam semula dan penambahbaikan infrastruktur ladang di seluruh negara.

“Impak pembangunan ini akan dinikmati oleh melebihi 107,000 peserta Felcra… sudah pasti warga Felcra Wilayah Sabah juga diberikan keutamaan untuk menerima kesan pembangunan ini dan sebagai sebuah agensi pelaksana yang dekat di hati rakyat, kerajaan telah bersetuju untuk menyalurkan peruntukan sejumlah RM11.17 juta bagi aktiviti pembangunan kerajaan di sini,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.