KPLB Akan Laksana Program SKoD Di 182 Kawasan Parlimen

PADANG TERAP, 24 April – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan melaksanakan program Sahabat Komuniti Desa (SKoD) di 182 kawasan Parlimen yang berada di luar bandar bermula tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata program di bawah penyelarasan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) itu juga bagi menggerakkan lebih banyak aktiviti sukarelawan dengan lebih berkesan.

“SKoD ini merupakan Kumpulan Tindakan Komuniti yang ditubuhkan di kawasan luar bandar yang mempunyai peranan seperti Komuniti Rukun Tetangga.

“Cuma bezanya SKoD fokus kepada komuniti di luar bandar iaitu penyertaannya adalah secara sukarela dan terbuka serta membabitkan penghulu, ketua kampung, institusi kepimpinan komuniti, jawatankuasa masjid, surau serta orang awam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Komuniti Sejahtera dan Iftar Bersama Warga Kemas di Pusat Komuniti Padang Kerasak di sini malam tadi yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kemas Datuk Mohamad Yasid Bidin.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata SKoD menyasarkan sekurang-kurangnya 15 ahli bagi setiap kampung secara sukarela dengan tanpa sebarang bayaran keahlian.

Beliau berkata antara program yang dilaksanakan ialah aktiviti kesedaran kesihatan, amalan gaya hidup sihat dan program menangani isu keselamatan serta kebajikan penduduk kampung.

Selain itu, program yang dianjurkan turut memberi tumpuan kepada memupuk semangat patriotisme seperti sambutan Hari Kebangsaan dan kebesaran Islam.

“Sebagai contoh apabila berlaku bencana seperti banjir, tanah runtuh atau kebakaran di kawasan mereka, sukarelawan SkoD ini akan menjadi barisan paling pantas untuk membantu mangsa yang terkesan dengan musibah yang berlaku di tempat mereka.

Sehubungan itu, Mahdzir mengharapkan yang SKoD mampu melahirkan generasi pelapis yang akan menjadi barisan kepimpinan dalam kalangan penduduk kampung. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.