KEDA Peruntuk RM6.4 Juta Bantuan Ekonomi Peserta Tahun Ini – Mahdzir

KUALA NERANG, 23 April – Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) memperuntukkan RM6.4 juta bagi membantu 10,350 pesertanya menerusi pelbagai aktiviti ekonomi pada tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata peruntukan itu antaranya membabitkan bantuan peralatan, infrastruktur dan program pembangunan keusahawanan untuk projek pertanian, ternakan dan perniagaan.

“Antara jenis bantuan yang diberikan adalah input pertanian seperti benih dan baja, jentera pertanian, bina kandang ternakan, mesin dan perniagaan, kursus kemahiran serta khidmat bimbingan usahawan,” katanya dalam sidang media pada Majlis Iftar Warga Desa Keda, di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Keda Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail dan Pengurus Besar Keda Kamarudin Abd Akib.

Mahdzir berkata Keda melaksanakan bantuan ekonomi melalui tujuh program utama antaranya Program Transformasi Desa dan Pengupayaan Komuniti, Projek Pertanian Petani Luar Bandar dan Projek Pembangunan Sawah.

Selain itu, turut dilaksanakan ialah Program Keusahawanan Wanita, Program Transformasi Pembangunan Keusahawanan, Program Pembangunan Kemahiran Untuk Komuniti B40 dan Program Pembangunan Semula Kawasan Terbiar.

“Maklum balas yang diterima daripada peserta menunjukkan bantuan ekonomi ini memberi manfaat dalam peningkatan pendapatan isi rumah antara 30 hingga 40 peratus dan kami berharap kesemua peserta dapat manfaatkan bantuan yang diberikan sebaik mungkin,” katanya.

Mahdzir berkata ia sekali gus dapat membantu peserta Keda keluar daripada garis kemiskinan dan merapatkan jurang pendapatan antara masyarakat luar bandar dengan bandar. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.