Perbelanjaan Peruntukan Pembangunan Asas 2022 Berada Pada Kadar 18.33 Peratus – PM

KUALA LUMPUR, 21 April – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Prestasi Perbelanjaan Peruntukan Pembangunan (DE) Asas Tahun 2022 negara setakat 15 April lepas adalah pada kadar 18.33 peratus.

Beliau berkata perkara itu telah dimaklumkan dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) tahun ini, yang dipengerusikannya dan turut dihadiri empat Menteri Kanan serta ketua jabatan dan agensi yang terlibat secara dalam talian.

“Jawatankuasa Pemudahcara Pelaksanaan Projek Pembangunan Negara (JP4N) telah diwujudkan, bagi menangani cabaran-cabaran utama dalam pengagihan DE.

“Mesyuarat juga bersetuju supaya ketua setiausaha semua kementerian melaporkan status perbelanjaan DE kepada menteri masing-masing setiap bulan, supaya tindakan segera dapat diambil bagi mempercepatkan pelaksanaan projek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata selaras sasaran negara untuk mencapai status berpendapatan tinggi pada 2025, mesyuarat hari ini turut meluluskan rangka kerja untuk memantau prestasi beberapa petunjuk untuk mencapai sasaran tersebut. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.