MARA Terima Hampir 75,000 Permohonan Kemasukan Ke MRSM Tahun Ini – Mahdzir

KUALA LUMPUR, 21 April – Majlis Amanah Rakyat Malaysia (MARA) menerima hampir 75,000 permohonan dari seluruh negara, untuk kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) tahun ini, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata jumlah itu adalah tinggi berbanding hanya 9,900 tempat yang mampu ditawarkan agensi itu, bagi pelajar yang memenuhi syarat dan kriteria pemilihan.

“Kita masih kekal kuota kemasukkan ke MRSM iaitu 60 peratus bagi (B40), 20 peratus (M40) 15 peratus (T20) dan lima peratus untuk bukan bumiputera,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas MRSM dan Majlis Berbuka Puasa MARA di sini semalam.

Sehubungan itu Mahdzir berkata kerajaan akan mengkaji keperluan untuk membuka lebih banyak MRSM di seluruh negara, bagi memenuhi permohonan yang tinggi saban tahun terutamanya pelajar daripada luar bandar.

Jelasnya ketika ini, MRSM Ranau di Sabah dan MRSM Bintulu di Sarawak dijangka siap akhir tahun ini, manakala lima lagi akan dibina di Ketereh dan Tanah Merah di Kelantan, Sik di Kedah, Lawas di Sarawak dan Dungun di Terengganu.

Terdahulu, Mahdzir turut melancarkan platform baharu “MRSM Channel” iaitu medium pembelajaran dalam talian bagi pelajar mengikut video pengajaran daripada guru-guru pakar setiap subjek. – BERNAMA