Ismail Sabri Ucap Takziah Kepada Keluarga Tan Sri Dr Ali Hamsa

KUALA LUMPUR, 21 April – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Tan Sri Dr Ali Hamsa atas pemergian tokoh pentabir perkhidmatan awam itu hari ini.

Mewakili Keluarga Malaysia, Ismail Sabri mendoakan agar seluruh keluarga bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) itu sabar dan tabah menghadapi dugaan.

Beliau menyifatkan Allahyarham yang berkhidmat sebagai KSN ke-13 selama enam tahun sejak 2012 sebagai seorang tokoh pentadbir perkhidmatan awam yang amat disegani serta dihormati sewaktu dalam perkhidmatan.

“Allahyarham telah menabur jasa dan bakti selama berkhidmat dan pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar buat negara. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin. Al-Fatihah,” kata Ismail Sabri menerusi catatan di akaun Facebook rasminya hari ini.

Pemergian Ali di Hospital Dublin, Ireland pada Khamis disahkan isterinya Puan Sri Rohani Abdullah melalui satu kenyataan yang turut memaklumkan urusan pengebumian akan dilakukan di Putrajaya.

Memulakan karier dalam perkhidmatan awam negara sejak 1981 di Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik, Ali sebelum ini pernah berkhidmat di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pengangkutan, Unit Perancang Ekonomi dan Institut Tadbiran Awam Negara.

Allahyarham juga pernah memegang jawatan sebagai pengerusi Program Perumahan 1Malaysia, ahli Jawatankuasa Pakar Pentadbiran Awam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN CEPA) dan pengerusi Institut Integriti Malaysia. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.