Johor Bincang Dengan Pemaju, Bina Lebih Banyak Rumah Mampu Milik

ISKANDAR PUTERI, 14 April – Kerajaan Negeri Johor telah mengadakan perbincangan dengan pemaju dan pemain industri untuk membina lebih banyak rumah mampu milik yang berharga RM200,000 ke bawah di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata langkah itu dilakukan selepas pihaknya mendapati terdapat 120,000 rumah mampu milik yang dirancang, tidak dibina dalam tempoh 25 tahun ini.

“Saya sudah berjumpa dengan 12 pemaju dan pemain industri yang membangunkan rumah mampu milik ini, antara isu yang dibangkitkan mereka ialah sudah tidak relevan lagi rumah berharga RM40,000 untuk dibangunkan,” katanya kepada pemberita pada program Singgah Sahur Kelab Media Johor (KMJ) semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri Norlizah Noh dan Presiden KMJ Mohamad Fauzi Ishak.

Mohd Jafni berkata pemaju perumahan menyatakan kos membina rumah mampu milik kini telah mencecah RM100,000.

“Jadi, kita sudah berbincang dan pemaju bersedia membina rumah yang berharga antara RM100,000 hingga RM200,000,” katanya sambil menambah meskipun Johor mempunyai tanah dan agensi kerajaan seperti Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) yang berperanan dalam hal ehwal perumahan, pembinaan rumah mampu milik tetap memerlukan kerjasama dengan pemaju.

Sementara itu, Norlizah berkata program Singgah Sahur KMJ yang memasuki tahun kelapan penganjurannya dapat mengeratkan lagi silaturahim yang sedia terjalin antara petugas media dengan agensi penguat kuasa dan jabatan kerajaan.

“Program ini mampu memberi impak yang baik dan kuat antara kedua-dua pihak sekali gus memudahkan segala urusan satu sama lain pada masa akan datang, harapnya program seumpama ini dapat diteruskan,” katanya.

Mohamad Fauzi berkata program tahunan yang bermula sejak 2015 itu, bertujuan memberi penghargaan kepada pasukan keselamatan dan perubatan yang bertugas, sekali gus mengeratkan hubungan petugas barisan hadapan dengan media.

“Kita nak menghargai jasa mereka yang sentiasa memberikan tugas terbaik tanpa mengira masa dan lokasi. Lebih-lebih lagi dengan wabak COVID-19 yang masih belum pulih ketika ini, jadi program seperti ini menjadi satu daripada cara bagi kami petugas media menunjukkan tanda sokongan kepada mereka,” katanya.

Pada program berkenaan, empat lokasi dikunjungi KMJ iaitu Hospital Pakar KPJ Johor, Sekatan Jalan Raya Pantai Lido, Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri serta Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Sungai Pulai.

Sebanyak 400 pek makanan disediakan untuk semua petugas, termasuk ahli-ahli KMJ yang menyertai Program Singgah Sahur kali ini selain turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bersama-sama mengiringi rombongan berkenaan. – BERNAMA