Persatuan Industri Kreatif Perlu Ditadbir Secara Profesional – Annuar

KUALA LUMPUR, 13 April – Persatuan berkaitan industri kreatif perlu ditadbir secara profesional bagi mengangkat industri berkenaan, serta menjaga tahap profesionalismenya, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Sebagai contoh, beliau berkata sistem royalti boleh diwujudkan dengan mengambil pengalaman negara luar yang menjaga komuniti penggiat industri kreatif seperti para pelakon.

“Kalau kita tengok arkitek ada Pertubuhan Arkitek Malaysia, perancang bandar ada ‘Malaysian Institute of Planners’ dan ia menjadi profesional kerana mereka mempunyai persatuan yang menjaga profesionalismenya.

Jadi dalam dunia seni, walaupun orang kata orang seni perlu pada kebebasan, kalau nak dijadikan itu sebagai satu profesion, saya cadangkan kena ada dia punya ‘Board of Governors’ yang mengawal etika, profesion, dan kalau itu ada, barangkali kaedah membayar royalti kepada mereka yang diiktiraf pelakon berlesen, pelakon profesional adalah lebih mudah untuk kita kawal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Bersama Media sempena Program Khas Syawal 2022 RTM di The Vertical, Bangsar South City Kuala Lumpur, di sini, malam tadi.

Sementara itu Annuar berkata sesi “pitching” bagi penggiat industri kreatif mengemukakan karya mereka untuk Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) akan diadakan dalam masa terdekat.

“Insya-Allah pada 20 hari bulan ini kita mula mengeluarkan iklan untuk memaklumkan kepada penggiat, penerbit dan sebagainya untuk mereka memohon atau mengemukakan cadangan karya-karya terbaharu.

Pada masa sama saya mendapat pengesyoran bahawa baki daripada mereka yang tidak berjaya dalam “pitching” sebelum ini, disambung dan diambil, yang itu…kita telah pertimbangkan perkara itu,” katanya.

Bagaimanapun Annuar berkata ia perlu juga dibuka kepada idea baharu memandangkan setiap hasil kreatif mempunyai tempoh tertentu, dan mereka yang tidak berjaya dalam sesi “pitching” sebelum ini boleh memodifikasi kandungan mengikut kesesuaian.

Majlis yang dianjurkan pada malam ini juga bertujuan memperkenalkan Program Khas Syawal 2022 RTM yang bertemakan “Syukurnya Syawal”.

Seiring tema tersebut, RTM menerusi tiga saluran utama iaitu TV1, TV2 dan TV Okey menyediakan program keagamaan, telefilem, drama bersiri, dokumentari, majalah dan hiburan khas sempena Aidilfitri.

Selain program televisyen, kesemua 34 stesen radio RTM turut menawarkan pelbagai rancangan menarik untuk pendengar. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.