Kanak-Kanak Masih Dibenarkan Ke Bazar Ramadan, Aidilfitri Di Perak

IPOH, 12 April – Perak belum bercadang menguatkuasakan peraturan membawa kanak-kanak ke bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata bagaimanapun, ibu bapa dan penjaga dinasihatkan agar terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) ketika negara sedang beralih ke fasa endemik.

“Tidak boleh bebas sangat kerana ketika ini virus Omicron masih ada termasuk kemunculan subvarian Omicron XE (di negara luar). Jadi kenalah berhati-hati.

“Kita tiada lagi arahan seperti itu (sebagaimana di Melaka) sebab endemik, namun kita sentiasa menasihatkan rakyat termasuk ibu bapa supaya berwaspada kerana ramai sekarang yang terlupa, riang ria hendak raya,” katanya dalam sidang media selepas program Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak, di Stadium Indera Mulia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan kerajaan Melaka menguatkuasakan peraturan dan kaedah membawa kanak-kanak ke bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri pada minggu ini demi menjaga keselamatan dan kesihatan golongan itu daripada dijangkiti COVID-19.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka Datuk Zaidi Attan dilapor berkata ia selaras dengan nasihat KKM bahawa kawasan sesak yang sempit dengan orang ramai adalah suasana tidak baik kepada kanak-kanak, terutama mereka yang tidak mempunyai perlindungan vaksinasi. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.