Paip Peruntuk RM36.2 Juta Atasi Masalah Air Di Lipis

KUANTAN, 11 April – Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) memperuntukkan RM36.2 juta bagi pelaksanaan pelbagai inisiatif untuk mengatasi masalah air di daerah Lipis.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata PAIP juga telah mengenal pasti tujuh lokasi ‘hotspot’ yang kerap mengalami masalah air di daerah tersebut.

Antara projek utama yang akan dilaksanakan bagi mengatasi masalah itu ialah menaik taraf sistem agihan air di Loji Rawatan Jelai dengan kos pembinaan RM15.8 juta yang bakal memberi impak positif kepada 6,378 akaun pengguna.

“Fasa pertama telah siap manakala fasa kedua dijangka siap sepenuhnya pada September ini. Fasa pertama membolehkan kapasiti loji Jelai dinaikkan daripada menghasilkan air terawat 500 meter padu sejam kepada 1,000 meter padu sejam,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasmi beliau.

Selain itu, projek baik pulih dan naik taraf loji rawatan air (LRA) di Kechau dan Merapoh kini dalam pembinaan manakala kerja membina tangki mendapan dan kerja menangani kekeruhan air tinggi di LRA Benta kini berada di peringkat reka bentuk.

Wan Rosdy berkata beberapa pembangunan lain yang masih di peringkat reka bentuk ialah projek membina tangki perkhidmatan berkapasiti 3,000 meter padu, membina tangki sedutan, rumah pam dan membekal serta memasang paip dari tangki air Benta ke Kampung Tersusun Jerkoh sepanjang lima kilometer.

Beliau sekali lagi mengulangi komitmen kerajaan negeri untuk mengatasi masalah bekalan air di Pahang, dan telah meminta pengurusan tertinggi PAIP untuk lebih agresif dan turun padang bagi mencari jalan menambah baik perkhidmatan bekalan air.

Selain itu, beliau berjanji akan turun padang menjelajah ke setiap daerah bagi mengadakan mesyuarat bersama pengurusan PAIP daerah agar perbincangan hala tuju serta langkah penyelesaian isu air di Pahang berjalan secara berfokus. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.