Sama-Sama Jaga Kualiti Kebersihan Selaras Piawan Ditetapkan – Jalaluddin

KUALA LUMPUR, 9 April – Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berharap para peniaga juadah Ramadhan dan lain-lain dapat menjaga kualiti kebersihan sebaiknya supaya imej ‘syurga makanan’ di Wilayah Persekutuan terjaga.

Menurut beliau tidak dapat dinafikan, rata-rata juadah yang dijual di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan memang memiliki keenakan dan kualitinya yang tersendiri, sehinggakan ia mampu menggamit selera para pelancong antarabangsa untuk menikmatinya.

“Khusus untuk para peniaga sempena Bulan Ramadhan di seluruh Wilayah Persekutuan, saya mendoakan perniagaan saudara-saudari akan terus melimpah ruah dan penuh dengan keberkatan.

“Tidak dapat dinafikan, rata-rata juadah yang dijual di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan memang memiliki keenakan dan kualitinya yang tersendiri, sehinggakan ia mampu menggamit selera para pelancong antarabangsa untuk menikmatinya.

“Bagi mengekalkan prestasi baik terutama imej Wilayah Persekutuan sebagai ‘Syurga Makanan’, suka untuk saya berpesan kepada para peniaga agar dapat menyediakan juadah yang segar, bersih dan selamat mengikut piawaian yang ditetapkan,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Kata beliau lagi semua pihak perlu peka terhadap keselamatan makanan dan minuman khususnya di sepanjang Bulan Ramadhan ini apatah lagi bagi makanan berisiko tinggi yang berasaskan santan, daging dan telur.

“Pada saya, penyediaan makanan melibatkan bahan-bahan sebegini perlu disediakan dengan sehabis baik dan tidak boleh ada sebarang proses ‘kitar semula’ makanan yang tidak habis dijual.

“Pada saya, peniaga adalah rakyat. Para pembeli juga merupakan rakyat. Masing-masing perlu dijaga dan diraikan dengan penuh harmoni. Peniaga mahu melariskan perniagaan mereka, pembeli pula mahu membeli sesuatu yang difikirkan berbaloi untuk mereka perolehi.

“Maka, sama-samalah kita saling jaga menjaga antara satu sama lain. Jaga kualiti makanan dan minuman yang dijual. Jaga SOP ketika masuk ke bazar-bazar Ramadhan yang ada. Jaga corak pemakanan kita terutama semasa berbuka puasa.

“Saya berharap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam Wilayah Persekutuan dapat meningkatkan kerjasama strategik dengan Jabatan Kesihatan untuk memastikan tiada sebarang pelanggaran disiplin ini dalam kalangan para peniaga kita di Wilayah Persekutuan,” tambahnya. UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.