KKM Akan Perkenal Akta Kualiti Air

PUTRAJAYA, 8 April – Kementerian Kesihatan (KKM) bercadang untuk memperkenalkan Akta Kualiti Air Minuman dalam masa terdekat bagi memperkukuh perlindungan terhadap ancaman kesihatan akibat air minum yang tidak selamat, kata Menterinya Khairy Jamaluddin.

“Minum air adalah satu hak asasi manusia,” katanya pada Sambutan Hari Kesihatan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022, secara maya semalam sambil menegaskan bahawa hakikatnya seorang daripada tiga indivdu di seluruh dunia berhadapan kekurangan akses kepada air minuman yang selamat dan mencukupi.

Beliau berkata KKM telah melaksanakan salah satu program kesihatan tertua di negara, Program Kebersihan Alam Sekitar Luar Bandar melalui Unit Bekalan Air dan Kebersihan Alam Sekitar (BAKAS) dan sejak lebih 50 tahun, BAKAS telah memainkan peranan utama dan menyumbang kepada liputan bekalan air bersih dan selamat yang hampir menyeluruh di negara ini.

Bersama pelaksanaan Program Pengawasan Kualiti Air Minuman Kebangsaan (NDWQSP) KKM telah berjaya membantu meningkatkan kualiti kesihatan, dengan memastikan keselamatan air minuman yang disediakan kepada orang ramai, dalam mematikan ia berada dalam piawaian yang ditetapkan, sekali gus mengurangkan kejadian penyakit bawaan air atau penyakit yang berkaitan dengan bekalan air awam yang berkualiti rendah.

“Program pengawasan yang memberikan amaran kepada kakitangan kesihatan dan kerja air jika kualiti air minuman merosot dan membolehkan mereka mengambil tindakan pencegahan atau pemulihan sebelum berlakunya sebarang wabak atau keracunan,” katanya.

Dalam isu lain, Khairy berkata KKM akan membentangkan akta baharu di Parlimen bagi melarang aktiviti merokok dan pemilikan produk tembakau termasuk menghisap rokok elektronik pada Julai tahun ini.

“Akan tiba satu masa apabila satu generasi tidak akan tahu apakah rokok itu,” katanya.

Khairy berkata mengikut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), lebih daripada 27,200 rakyat Malasia mati setiap tahundisebabkan rokok. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.