Melaka Perluas Penggunaan Perbankan Dalam Talian Bayar Cukai Tanah Dan Petak

MELAKA, 7 April – Kerajaan Melaka memperluas penggunaan perbankan dalam talian menerusi aplikasi JomPAY bagi pembayaran cukai tanah dan petak di negeri berkenaan.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata kaedah berkenaan diperkenalkan sejak 1 Mac lepas bagi memudahkan 360,000 pemilik tanah dan 40,000 pemilik strata melunaskan cukai tahunan mereka.

“Setakat 31 Mac lepas, 11,000 transaksi melalui JomPAY ini telah direkodkan membabitkan sebanyak RM1.5 juta nilai yang berjaya dikutip.

“Diharapkan dengan usaha ini ia akan dapat membantu pembayar-pembayar cukai tanah dan petak dalam menunaikan tanggungjawab mereka di samping promosi diskaun 10 peratus cukai tanah dan petak yang masih lagi berjalan,” kata pada sidang akhbar di Seri Negeri di sini hari ini.

Sulaiman berkata sebanyak 42 bank mengambil bahagian dalam pebayaran cukai tanah dan petak menggunakan aplikasi berkenaan, dengan kerajaan negeri menanggung caj transaksi sebanyak RM0.40.

Beliau berkata bagi merancakkan lagi promosi JomPAY ini, AmBank, yang merupakan antara bank yang mengambil bahagian, akan memberikan cabutan bertuah kepada pengguna dengan hadiah bernilai RM10,000.

Dalam perkembangan lain, Sulaiman, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) menggesa agar pengurusan Melaka United FC (MUFC) untuk melunaskan gaji pemain-pemain yang tertunggak sejak tiga bulan lepas, kerana mereka juga mempunyai komitmen untuk dilunaskan.

Sulaiman berkata beliau maklum gaji pemain adalah agak tinggi namun ia perlu dibayar mengikut jadual ditetapkan agar tidak melemahkan semangat mereka ketika bertemu lawan di mana-mana padang.

“Gaji pemain-pemain ini agak tinggi, nak bayar gaji kena bayar keseluruhan, jangan pilih-pilih pemain. Kalau tidak ia akan melemahkan semangat pemain, itu tak bagus,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.