Tiada Kes Mutasi Baharu Varian Omicron XE Setakat Ini – Khairy

IPOH, 5 April – Malaysia tidak mencatatkan jangkitan kes mutasi baharu varian Omicron dinamakan XE, yang lebih mudah berjangkit berbanding mana-mana varian COVID-19 setakat ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata kementeriannya sedang mengikuti perkembangan dan mengkaji ciri-ciri varian itu yang dilaporkan di negara lain termasuk Thailand bagi mengenal pasti tahap kebolehjangkitan dan keseriusannya kepada pesakit.

“Varian Omicron contohnya lagi tinggi (kesnya) daripada Delta sebab itu kes meningkat tetapi keseriusannya lebih sederhana daripada Delta maka unit rawatan rapi juga tidak penuh seperti dulu.

“Jadi varian baharu ini kita kena tengok daripada negara lain sama ada kebolehjangkitan tinggi atau keseriusan yang tinggi barulah kita ambil langkah-langkah sepatutnya,” katanya pada sidang media selepas melawat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.

Terdahulu, beliau melawat bangunan warisan berusia 138 tahun dan wad Long Covid dan Rehabilitasi yang pertama di Perak di Hospital Batu Gajah sebelum melakukan lawatan ke Makmal Kesihatan Awam Ipoh dan HRPB.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dilaporkan memberi amaran mengenai satu mutasi baharu varian Omicron dinamakan XE, yang lebih mudah berjangkit berbanding mana-mana varian COVID-19.

WHO menerusi laporan terbarunya berkata varian berkenaan adalah gabungan mutasi hibrid dua versi terdahulu bagi Omicron iaitu BA.1 dan BA.2. – BERNAMA