‘Semak Dan Imbang’ Sentiasa Boleh Dilakukan Terhadap GLC Pahang – MB

KUANTAN, 1 April – Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini memberi jaminan bahawa ‘semak dan imbang’ sentiasa boleh dilakukan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri itu walaupun jika syarikat terlibat tidak diaudit oleh Jabatan Audit Negara.

Beliau berkata audit sentiasa dilakukan sama ada secara dalaman atau oleh pihak audit luar, selain kerajaan negeri turut mengarahkan audit forensik dilaksanakan jika didapati terdapat keperluan berbuat demikian bagi memastikan tiada ketirisan berlaku.

“Anak syarikat yang dirasakan perlu (diaudit) terutamanya syarikat yang tiada keuntungan, kita mengarahkan audit forensik…ada satu, dua syarikat terlibat dan lazimnya ia melibatkan syarikat yang dirasakan ada langgar peraturan atau salah guna kuasa,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Chiong Yoke Kong (PH-Tanah Rata) yang ingin tahu bagaimana semak dan imbang boleh dilakukan jika tiada audit oleh Jabatan Audit Negara dilaksanakan kepada sesetengah syarikat, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Menjawab soalan asal Chiong berhubung fungsi lima anak syarikat Pahang Corp, Wan Rosdy berkata penubuhan syarikat tersebut bertujuan mempercepatkan proses dan mengurangkan birokrasi berkaitan tugas syarikat berkenaan selain membolehkan kerajaan negeri mempunyai satu ‘vehicle’ untuk mengawal apa yang berlaku.

Syarikat terlibat ialah Pahang Corporate Management Services Sdn Bhd (PCMS), Pahang Water and Energy Recources Sdn Bhd (PWE), Pahang Orang Asli Corporation Sdn Bhd (ORACO), Koridor Utiliti Pahang Sdn Bhd dan Pahang Go Sdn Bhd, dengan semuanya dilaporkan mencatatkan prestasi kewangan menguntungkan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.